Itu Hanya Pandangan Peribadi Ramasamy

KUALA LUMPUR: Usaha kerajaan untuk mereformasikan perkhidmatan awam yang didakwa Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy yang hanya akan didominasi kaum Melayu boleh dianggap sebagai pandangan peribadi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya kenyataan Ramasamy tidak mewakili pandangan rasmi DAP.

Oleh itu, katanya, kerajaan tidak mempertimbangkan untuk membuat sebarang perubahan mengenainya.

“Itu pandangan peribadi dia, kalau perlu timbang, kita timbang, tetapi itu pun bukan pandangan DAP.

“Perkara ini tidak kita bukakan saluran untuk kita pertimbangkan kerana dalam keadaan sekarang, saya tidak fikir itu satu masalah,” katanya kepada media selepas melancarkan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah dan Karnival Kerjaya MYFutureJobs di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu Ramasamy menggesa Perdana Menteri mereformasikan perkhidmatan awam yang didakwanya didominasi oleh orang Melayu dan dasar itu dilaksanakan pada era kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, hujah lama yang memihak kepada penguasaan orang Melayu dalam perkhidmatan awam untuk mengimbangi penguasaan ekonomi bangsa Cina, tidak lagi terpakai kerana ia digunakan oleh Mahathir untuk menginstitusikan hegemoni Melayu dalam sektor awam, khususnya perkhidmatan awam.

Beliau turut mendakwa terdapat juga diskriminasi kaum secara rahsia apabila ia berkaitan dengan prospek kenaikan pangkat untuk bukan Melayu dalam sektor awam.

BBerkaitan

Latest articles