Anak Puad Pertahan Kenyataan Bapa, Dakwa Teguran Demi Selamatkan Masa Depan UMNO

KUALA LUMPUR: Anak kepada bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Omar Hafidz Mohd Puad tampil mempertahankan kenyataan bapanya, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, dengan menyifatkan pandangan yang dibangkitkan itu sebagai usaha ikhlas demi memastikan kelangsungan UMNO untuk dekad akan datang.

Menurut Omar Hafidz, kenyataan bapanya mungkin tidak sehaluan dengan pendekatan semasa parti, namun beliau percaya sejarah akhirnya akan menilai keberanian tersebut dalam berdepan cabaran politik yang bakal dihadapi UMNO.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas reaksi beberapa pemimpin UMNO termasuk Setiausaha Agung, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh; Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan; dan Setiausaha Agung Pemuda Barisan Nasional (BN), Mohd Hafiz Ariffin yang menegaskan UMNO bukan sebuah parti berasaskan hubungan kekeluargaan susulan keputusan tidak mencalonkan ahli keluarga pemimpin tertentu.

Omar Hafidz menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang isu dengan kenyataan pimpinan parti mahupun keputusan untuk tidak mencalonkannya pada pilihan raya.

“Saya menghormati pandangan mereka kerana itu tanggungjawab mereka dalam mempertahankan naratif parti. Saya juga tiada masalah kerana tidak dicalonkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, beliau mempersoalkan sikap segelintir pemimpin yang menurutnya memilih untuk berdiam diri terhadap isu-isu yang sedang melanda parti.

Menurutnya, apa yang lebih membimbangkan ialah apabila individu yang dianggap sebagai pejuang sebenar UMNO enggan bersuara mengenai keadaan sebenar parti.

Beliau turut berpandangan bahawa kenyataan balas pimpinan UMNO ketika ini mungkin mampu membantu BN mempertahankan prestasi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, namun ia tidak mengubah hakikat cabaran yang sedang dihadapi parti.

“Kenyataan pimpinan hari ini mungkin dapat membantu BN mengharungi PRN Johor dan mengelakkan kehilangan banyak kerusi atau mengekalkan pencapaian sebelum ini.

“Namun, kenyataan ayah saya bukan semata-mata untuk menghadapi pilihan raya kali ini, sebaliknya bertujuan menyelamatkan UMNO bagi tempoh 10 tahun akan datang,” katanya.

Tambah beliau, jawapan sebenar terhadap perdebatan itu hanya akan dapat dilihat pada pilihan raya akan datang apabila landskap pengundi berubah, khususnya dengan pertambahan pengundi muda serta peningkatan kadar keluar mengundi masyarakat Cina.

Omar Hafidz yakin tindakan bapanya akan dinilai secara lebih adil pada masa hadapan dan percaya keberanian yang ditunjukkan itu akan menjadi ukuran sejarah dalam tempoh lima tahun akan datang.

BBerkaitan

Latest articles