GEORGETOWN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 24 sebuah kondominium di Teluk Kumbar, Pulau Pinang, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai memanjat sebuah kerusi yang diletakkan berhampiran tingkap ruang tamu sebelum terjatuh dari unit kediaman keluarganya.
Menurut beliau, ketika kejadian, mangsa berada di rumah bersama dua adiknya yang sedang tidur.
Bapa mangsa dikatakan keluar seketika atas urusan kerja, manakala ibunya berada di luar negeri bagi urusan pekerjaan.
“Pihak polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada awal pagi tadi dan mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan bawah kondominium,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hasil pemeriksaan pasukan forensik di lokasi tidak menemukan sebarang unsur jenayah atau perbuatan khianat.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk menjalani bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian. Kes disiasat mengikut Seksyen 33(A) Akta Kanak-Kanak 2001.
Selesai proses bedah siasat, jenazah kanak-kanak itu dibawa pulang ke Petaling Jaya, Selangor untuk urusan pengebumian.










