MACHAP: Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bakal berdepan saingan satu lawan satu dalam usaha mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Pertembungan itu disahkan selepas proses penamaan calon ditutup hari ini, menyaksikan Onn Hafiz yang mewakili Barisan Nasional (BN) dicabar calon Pakatan Harapan (PH), Nur Hafiz Roslan.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Mohd Izzul Helmi Ahmad berkata, hanya dua kertas penamaan calon diterima bagi kerusi berkenaan dan kedua-duanya melepasi proses semakan tanpa sebarang bantahan.
Menurutnya, calon PH menyerahkan kertas penamaan pada jam 9.03 pagi, diikuti calon BN tiga minit kemudian pada jam 9.06 pagi.
“Semua kertas penamaan calon telah diteliti dan tiada satu pun ditolak,” katanya pada sidang media di Pusat Penamaan Calon Machap di Dewan Muafakat, Majlis Daerah Simpang Renggam.
Kerusi Machap dijangka menjadi antara tumpuan utama PRN Johor memandangkan Onn Hafiz bukan sahaja penyandang kerusi berkenaan, malah merupakan Menteri Besar dan Pengerusi BN Johor.
Beliau tiba di pusat penamaan calon dengan diiringi beberapa pemimpin kanan BN termasuk Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.
Suasana di luar pusat penamaan calon turut meriah apabila ratusan penyokong BN yang berpakaian biru berhimpun sejak awal pagi sambil mengibarkan bendera parti dan melaungkan slogan sokongan.
Sementara itu, Nur Hafiz yang juga Ahli Jawatankuasa Pemuda AMANAH hadir bersama penyokong PH dengan diiringi Naib Presiden AMANAH, Datuk Mohd Hatta Ramli. Kehadirannya disambut laungan “Reformasi” daripada penyokong yang mengiringinya ke pusat penamaan calon.
Pada PRN Johor 2022, Onn Hafiz memenangi kerusi Machap dengan majoriti 6,543 undi dalam pertandingan empat penjuru selepas memperoleh 11,029 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), MUDA dan PEJUANG.
Sebelum itu, beliau merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang selepas memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 dengan majoriti 364 undi.
Nur Hafiz pula merupakan antara muka muda yang diketengahkan PH bagi menghadapi PRN Johor kali ini, selaras usaha gabungan itu memberi lebih banyak ruang kepada pemimpin generasi baharu.
PRN Johor kali ini menyaksikan pertandingan di semua 56 kerusi DUN melibatkan 2,727,926 pengundi berdaftar. Hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 7 Julai.










