KUALA LUMPUR: Keupayaan syarikat multinasional berpangkalan di Malaysia mengurus aset utiliti di United Kingdom (UK) sekali lagi menjadi perhatian apabila YTL Corporation dijadikan contoh dalam perdebatan mengenai pemilikan utiliti awam dan pelaburan rentas sempadan.
Dalam satu perbincangan di rancangan bual bicara GB News, pemilikan Wessex Water oleh YTL Corporation diketengahkan sebagai contoh bagaimana aliran modal antarabangsa dapat memberi manfaat kepada pelbagai pihak melalui sistem pelaburan global.
Seorang panelis menjelaskan bahawa pelaburan YTL dalam Wessex Water bukan sahaja menjana pulangan kepada syarikat, malah turut memberi manfaat kepada pelabur institusi di Britain, termasuk dana pencen City of Edinburgh yang menerima dividen daripada pelaburan tersebut.
Menurut beliau, model pelaburan rentas sempadan membolehkan modal diagihkan dengan lebih cekap, sekali gus menyokong pulangan jangka panjang kepada pelabur serta memastikan syarikat utiliti mempunyai akses kepada pembiayaan bagi pelaburan infrastruktur.
Dalam perdebatan itu, terdapat juga pandangan yang mencadangkan utiliti awam dikembalikan di bawah pemilikan kerajaan atas faktor kepentingan nasional. Namun, hujah tersebut dibalas dengan penegasan bahawa YTL telah membuat pelaburan besar dalam pembangunan Wessex Water, yang disifatkan sebagai antara syarikat pembekal air berprestasi tinggi di UK.
Panel berkenaan turut menegaskan bahawa tiada perkhidmatan utiliti yang dapat disediakan secara percuma dan sebarang usaha untuk mengambil alih semula aset utiliti memerlukan kos yang besar, sekali gus memberi implikasi kepada kewangan kerajaan serta pembayar cukai.
Perbincangan itu memperlihatkan bagaimana YTL Corporation dijadikan contoh keupayaan syarikat Malaysia bersaing di peringkat antarabangsa, dengan pelaburannya dilihat sebagai sebahagian daripada ekosistem pasaran modal global yang menghubungkan kepentingan syarikat, pelabur institusi dan pengguna merentasi sempadan negara.










