Kerajaan Longgar Syarat BUDI Diesel, Fi Tukar Hak Milik Percuma Tiga Bulan

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan beberapa penambahbaikan terhadap pelaksanaan subsidi bersasar BUDI Diesel bagi memudahkan rakyat membuat peralihan kepada sistem baharu itu menjelang akses awal yang bermula esok di Semenanjung Malaysia.

Antara langkah utama ialah pengecualian fi tukar hak milik (THM) kenderaan diesel selama tiga bulan bermula 1 Julai ini, selain membenarkan kelayakan subsidi dipindahkan kepada ahli keluarga yang merupakan pengguna sebenar kenderaan berkenaan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penambahbaikan itu dipersetujui selepas kerajaan mengadakan beberapa sesi libat urus bersama rakyat, peniaga kecil, pemegang taruh serta agensi pelaksana sejak pengumuman pelaksanaan BUDI Diesel pada 22 Jun lalu.

Menurut beliau, kerajaan mengambil maklum pelbagai rayuan yang diterima, termasuk isu kenderaan diesel yang digunakan oleh individu tertentu tetapi masih didaftarkan atas nama ahli keluarga.

“Peralihan kepada BUDI Diesel adalah bagi memastikan subsidi diesel dinikmati rakyat Malaysia yang benar-benar layak, selain menutup ruang ketirisan yang menyebabkan negara kerugian berbilion ringgit setiap tahun.

“Selepas meneliti maklum balas rakyat, Kerajaan MADANI bersetuju melaksanakan beberapa penambahbaikan bagi memastikan pelaksanaan BUDI Diesel berjalan lebih lancar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi pelaksanaan pengecualian fi THM, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut membuka kaunter perkhidmatan pada hujung minggu bermula 4 hingga 26 Julai ini, dari jam 8 pagi hingga 5 petang di semua Pejabat JPJ Negeri dan JPJ UTC Negeri.

Kaunter berkenaan akan mengendalikan urusan berkaitan BUDI Diesel seperti permohonan tukar hak milik kenderaan, pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan serta urusan berkaitan JPJ yang lain.

Dalam perkembangan sama, Kementerian Kewangan memaklumkan pemilik berdaftar kenderaan diesel juga akan dibenarkan memindahkan kelayakan subsidi kepada ahli keluarga terdekat yang menggunakan kenderaan itu, tertakluk kepada syarat dan proses pengesahan yang akan diumumkan kemudian.

Selain itu, kerajaan turut memperluaskan skim BUDI Diesel kepada kenderaan persendirian milik syarikat bagi kategori pikap dan jip selepas mengambil kira keperluan peniaga kecil serta pengguna yang bergantung kepada kenderaan diesel untuk urusan harian.

Pemilik kenderaan dalam kategori berkenaan boleh membuat semakan serta permohonan melalui portal rasmi BUDI MADANI selepas sistem dikemas kini.

Sementara itu, akses awal BUDI Diesel akan bermula pada 27 Jun bagi pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak di Semenanjung Malaysia.

Sepanjang tempoh akses awal, pengguna boleh membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter menggunakan pengesahan MyKad di stesen minyak yang mengambil bahagian.

Pelaksanaan penuh skim itu pula akan bermula pada 1 Julai, dengan harga diesel bersubsidi ditetapkan pada RM2.10 seliter untuk rakyat Malaysia yang layak.

Kerajaan turut memaklumkan penerima sedia ada BUDI Diesel Individu telah menerima bantuan tunai RM400 pada awal Jun lalu, manakala lebih ramai pemilik kenderaan diesel persendirian yang sebelum ini tidak menerima bantuan berkenaan kini layak menikmati diesel bersubsidi menerusi mekanisme baharu itu.

Pemilik kenderaan diesel boleh menyemak status kelayakan serta had subsidi bulanan melalui portal rasmi BUDI MADANI, manakala pemilik pikap dan jip yang layak turut boleh memohon tambahan kuota sebanyak 100 liter sebulan.

Kerajaan menegaskan akan terus memantau pelaksanaan akses awal BUDI Diesel serta meneliti maklum balas orang ramai bagi memastikan pelaksanaan subsidi bersasar itu berjalan lancar dan benar-benar memberi manfaat kepada golongan yang layak.

BBerkaitan

Latest articles