“Seolah-olah Dialah Satu-satunya Yang Paling Suci, Sempurna” – Asyraf Gesa Pengkhianat Disingkirkan

KUALA LUMPUR: Mana-mana pihak di dalam parti yang menjadi api dalam sekam dabln gunting dalam lipatan perlu ‘dihapuskan’ segera agar tidak terus menjadi barah di dalam UMNO.

Hal itu ditegaskan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Dr. Asyraf Wajdi Dusuki sambil menambah, mereka yang digelar pengkhianat itu berkempen dalam pilihan raya dengan cara mengutuk parti dan Presidennya sendiri.

Asyraf berkata tidak sampai dek akal bagaimana pemimpin-pemimpin yang sudah berpuluh tahun hidup mewah di atas keringat dan air mata ahli-ahli parti, tetapi kali ini memilih memburukkan parti dan kepimpinan hanya kerana mereka tidak dapat menjadi calon lagi.

“Sesetengah calon kita juga memilih untuk menjadi ‘hero’ dengan mencerca parti. Dijaja kononnya mengundi beliau bermakna undi untuk memulihkan UMNO yang sesat, rosak dan korup.

“Seolah-olah dialah satu-satunya yang paling suci, paling sempurna, dan paling hebat segala galanya,” katanya ketika menyampai ucapan dasar Ketua Pemuda pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO 2022 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Malangnya, Asyraf Wajdi yang juga Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) berkata, para pemimpin dan ahli UMNO sendiri merelakan segala kebobrokan yang berlaku di mana pentas media sosial peribadi dibuka ruang untuk menghina kepimpinan parti sendiri dihina.

Malah, tambah beliau, mereka khayal dan seronok dengan gegak-gempita, sorak-sorai penonton tatkala memerli dan merendahkan parti sendiri.

“Apa hodoh sangatkah UMNO yang menatang mereka sehingga sesetengahnya dapat beberapa kali menjadi menteri?

“Apa busuk sangatkah kepimpinan kalau mereka yang berulang kali khianat pun masih diberi tempat bertanding oleh parti?” soalnya.

Asyraf Wajdi seterusnyta mempersoalkan bagaimana rakyat boleh mempercayai kemampuan UMNO dan BN memimpin negara serta membawa kestabilan sekiranya pemimpin atasan dilihat bercakaran manakala ahli-ahli pula berpecah-belah dan saling kata mengata.

“Realitinya, 2018 kita kalah kerana fitnah. 2022 kita kalah kerana berpecah!” tegasnya.

Beliau turut menyebut peringatan Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis tentang betapa pentingnya mentaati pemimpin tatkala senang mahupun susah, mempertahankan pemimpin samada yang disukai ataupun yang dibenci.

Sambil mengulangi pendirian Pemuda UMNO untuk terus mempertahankan institusi kepimpinan parti, Asyraf Wajdi turut menegaskan bahawa sayap berkenaan tidak boleh bersikap hipokrit, melambung pemimpin tatkala menang tetapi memijak lumat pemimpin tatkala jatuh kecundang.

BBerkaitan

Latest articles