ISKANDAR PUTERI: Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed, sepatutnya UMNO dan BN berterima kasih kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana menyelamatkan parti dari kehancuran selepas kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
Ia termasuk keputusan Ahmad Zahid yang bersetuju dengan cadangan Yang Di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH).
Dakwa Nur Jazlan pemimpin BN dan UMNO akan menjadi mangsa dendam politik lawan sekiranya tidak bersetuju menyertai kerajaan perpaduan.
“Jika tidak kerana keputusan Ahmad Zahid untuk bersetuju dengan cadangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menubuhkan kerajaan perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH) , mungkin pemimpin BN dan UMNO akan terus menjadi mangsa dendam politik pihak lawan terutamanya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang.
“Mungkin ramai lagi orang UMNO akan jadi mangsa pendakwaan politik seperti yang dihadapi oleh Ahmad Zahid sendiri. Sepatutnya UMNO dan BN berterima kasih kepada Ahmad Zahid kerana menyelamatkan parti dari kehancuran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai berkata, beliau tidak kisah jika ada pihak yang melabelnya sebagai ‘budak’ Ahmad Zahid.
“Tidak kurang juga ada pihak yang menuduh saya bodoh kerana masih mengikut Ahmad Zahid. Namun satu benda yang saya ingat adalah jasa besar Ahmad Zahid.
“Beliau sentiasa bersama saya ketika susah dan senang. Beliau tak pernah lupakan jasa Allahyarham ayah saya (Tan Sri Mohamed Rahmat) dan beliau tak pernah tinggalkan saya biarpun berada di puncak kuasa.
“Beliau jugalah yang menyelamatkan UMNO daripada dikuburkan oleh bekas Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad. Jika bukan kerana Ahmad Zahid tamakkan kuasa dan hanya fikir kepentingan diri, tahun 2018 mungkin menjadi sejarah tamatnya riwayat UMNO,” katanya.