“Calon Tempatan, Senang Dijumpai” – Uncle Kentang Umum Tanding Di Puchong

KUALA LUMPUR: Uncle Kentang yang terkenal dengan bantuan sukarelawan tanpa mengira kaum dan agama hari ini menawarkan diri untuk bertanding sebagai calon bebas di kerusi Parlimen Puchong pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Kuan Chee Heng berkata, beliau membuat keputusan itu bagi memberi alternatif kepada penduduk Puchong untuk memilih satu suara yang boleh mewakili mereka semua di Dewan Rakyat.

Malah beliau percaya kelebihan yang dimilikinya sebagai anak tempatan dan mesra rakyat dapat meraih sokongan pengundi Puchong.

“Senang mendapat bantuan. Nak sign borang, pejabat dekat Puchong Utama sahaja.

“Bukan calon dari luar. Anak penoreh getah. Faham masalah rakyat. Bersama rakyat sentiasa. Mudah ditelefon. Nombor telefon hari-hari dipampangkan.

“Senang dijumpa di kedai mamak, pasar dan mana-mana sahaja. Menjadi Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) selama 14 tahun. Memahami keselamatan dan keperluan masyarakat,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut, menurut Uncle Kentang, Puchong berhak mendapat suara yang mewakili rakyat biasa yang memahami kesusahan penduduk.

Sehubungan itu pengundi Puchong diharap dapat mengundi seorang calon yang mudah ditemui dan boleh mewakili mereka daripada rakyat kepada rakyat.

Chee Heng turut menyeru kepada mereka yang berminat menjadi sukarelawan kempen supaya menghubunginya di talian 018-2683999.

BBerkaitan

Latest articles