Kontroversi Ayat ‘Belasah’, Rosyam Kata Bukan Sengaja Berkasar

KUALA LUMPUR: Selepas video keusahawanan antara Datuk Rosyam Nor dan Datuk Seri Rina Harun tular hingga menyebabkan ramai tak berpuas hati, pelakon terkenal itu tampil menjelaskan keadaan sebenar.

Rosyam, yang juga penerbit dan usahawan terkenal, mengakui ada ketika tertentu dia mungkin kelihatan kasar namun menegaskan sikap sebegitu dilakukan dengan niat yang baik.

Namun ianya bertujuan untuk membuka minda pihak yang berkenaan agar sentiasa berfikiran positif dan tidak selesa dengan apa yang mereka capai.

“Apabila saya kata ‘belasah kepala korang’ tu, takkanlah saya nak pukul betul-betul. Dari segi psikologi, saya nak apa yang saya cakap tu membuka minda orang ramai.

“Perkataan belasah kepala yang saya sebut tu sebenarnya bertujuan ‘mencuci’ otak. Saya memang agak kasar tapi bukan kurang ajar. Jadi, tak timbul isu saya menjatuhkan martabat kaum wanita,” katanya memetik Malaysiakini.

Rosyam juga menggesa mereka yang mengkritik video itu agar menonton video keusahawanan yang dimuat naik pada saluran YouTube miliknya.

Kata pelakon berkenaan, kaedah ‘cuci otak’ itu sudah biasa diguna pakai olehnya sebelum ini sebagai daya penarik untuk menanam minat orang ramai agar cintakan semangat keusahawanan.

“Tolong tonton Suhan Channel. Tengok video keusahawanan yang saya buat. Takkanlah nak cakap begini: ‘Mari ramai-ramai hadirkan diri…’ Saya yakin takkan ada orang nak datang kalau promosi dibuat begitu.

“Program yang saya jalankan adalah untuk memberi semangat dan kesedaran buat kaum wanita dari golongan B40 atau mereka yang baru berjinak-jinak dalam industri kecil dan sederhana (IKS) supaya bangkit dalam perniagaan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles