KUALA LUMPUR: Sektor penanaman padi negara kini berdepan dengan ancaman serius akibat kekurangan generasi pelapis serta isu penindasan sistem yang didakwa berlarutan sejak berdekad lamanya tanpa pembelaan menyeluruh.
Aktivis kemanusiaan, Zainal Rashid Ahmad menegaskan bahawa masa depan keterjaminan makanan negara semakin teruji apabila golongan pesawah aktif hari ini kebanyakannya terdiri daripada warga emas yang berusia melebihi 65 tahun.
Menurutnya, walaupun terdapat kira-kira 50,000 petani aktif daripada senarai melebihi 100,000 pesawah berdaftar, majoriti golongan tua ini sudah tidak turun ke bendang secara fizikal, sebaliknya hanya mampu menyewakan petak bendang kepada generasi lebih sihat berusia 40-an dan 50-an.
“Kita sedang mengalami krisis serius; tanah bendang masih nampak indah dan luas. Tapi, generasi yang turun ke bendang, kehilangan pelapis,” katanya dalam hantaran di Facebooknya pada Isnin.
Bekas penerbit TV itu juga menekankan bahawa keterjaminan makanan bukan sahaja bergantung kepada keluasan tanah dan teknologi, malah turut merangkumi isu sumber manusia.
Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai punca warisan pesawah semakin pupus akibat lingkaran kemiskinan tegar yang memaksa anak-anak petani berjuang keluar daripada kesusahan hidup berbanding mengharapkan hasil bendang keluarga.
“Keadaan ini diibaratkan seperti tragedi watak Lahuma dan Jeha dalam novel klasik Sasterawan Negara, Allahyarham Profesor Emeritus Datuk Dr. Shahnon Ahmad, iaitu Ranjau Sepanjang Jalan yang diterbitkan 60 tahun lalu sebagai tanda protes terhadap dasar pertanian awal merdeka yang menjerut leher petani.
“Sekarang sudah 69 tahun merdeka. Majoriti petani masih miskin kerana banyak masalah ‘penindasan sistem’ tidak dibaiki sejak berdekad lamanya,” tegas beliau lagi.
Susulan daripada kemelut tersebut, satu kempen baharu di bawah tanda pagar #HentiAniayaPetani dan #UbahSistemTimbang telah dilancarkan bagi menuntut kerajaan membela nasib pesawah pada musim tuaian kali ini.
Misi utama kempen ini adalah mendesak kerajaan mengubah kaedah pemutuan padi bagi menghentikan tindakan pengilang memotong hasil timbangan sesuka hati yang merugikan pesawah.
“Kadar potongan berat padi pada minimum 20 peratus sangat tidak adil (malah tak masuk akal). Setiap satu tan, petani kehilangan 200kg, manakala tiap lima tan, petani hilang satu tan timbangan,” ujarnya.
Beliau menambah, kerugian tersebut amat besar memandangkan nilai satu tan padi adalah sebanyak RM2,000, yang merangkumi RM1,500 harga kilang dan RM500 subsidi kerajaan, terutamanya ketika pesawah terpaksa berdepan kenaikan kos harga diesel untuk mesin tuaian sewaan serta perbelanjaan baja dan racun yang ditanggung sendiri walaupun terdapat bahagian yang disubsidi.
Isu penindasan sistem timbangan dan nasib pesawah ini turut mendapat perhatian meluas di lapangan, termasuk perhimpunan aman yang diadakan oleh golongan pesawah di Penaga, Pulau Pinang bagi menuntut hak dan pembelaan sewajarnya terhadap keringat penanam padi negara.










