MELAKA: Sebarang usaha menjalin kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu dibuat melalui saluran rasmi dan bukannya diperdebatkan menerusi media sosial, tegas Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Beliau berkata, perbincangan secara terbuka di platform media sosial hanya boleh mencetuskan persepsi berbeza dalam kalangan rakyat terhadap parti-parti yang bakal bertanding.
Menurutnya, BN akan mengeluarkan surat rasmi kepada parti yang berminat untuk mengemukakan cadangan masing-masing sebelum perkara itu dibawa ke peringkat berkaitan untuk pertimbangan dan keputusan.
“Tak perlu kita berunding dalam media sosial. Kita akan keluarkan surat rasmi kepada semua parti untuk membentangkan bagaimana mereka boleh menjadi rakan strategik terbaik kepada BN.
“Kita akan bentangkan pada semua peringkat untuk kita buat keputusan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2026 Peringkat Kebangsaan di Melaka, hari ini.
Turut hadir Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup; Timbalannya, Syed Ibrahim Syed Noh serta Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Salhah Salleh.
Ab Rauf berkata, BN menghormati mana-mana parti yang berminat untuk bekerjasama, namun sebarang bentuk kesepakatan perlu ditentukan menerusi rundingan rasmi yang dijadual diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL).
“Kita amat menghormati semua parti yang berminat untuk bersama-sama dengan kita, tetapi perkara ini tertakluk kepada perbincangan rasmi yang akan dilakukan di WTC nanti,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan BN tidak menutup ruang rundingan, namun tidak berminat untuk membuka pintu seluas-luasnya tanpa mengambil kira proses dan pertimbangan yang sewajarnya.
“Kita tidak menutup pintu serapat-rapatnya dan kita juga tidak membuka pintu seluas-luasnya untuk rundingan,” katanya.
Pendirian itu selari dengan kenyataan Ab Rauf sebelum ini bahawa sebarang kesepakatan politik BN bagi menghadapi PRN Melaka perlu diputuskan secara rasmi dan tidak bersandarkan spekulasi atau perbincangan tidak rasmi di media sosial.
Pada PRN Melaka 2021, BN membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.
Penggal DUN Melaka akan berakhir pada 31 Disember ini.










