Seruan Istito’ah Berpotensi Pendekkan Tempoh Menunggu Haji Kepada 68 Tahun

KUALA LUMPUR: Tempoh menunggu giliran menunaikan haji yang kini boleh mencecah 147 tahun berpotensi dipendekkan kepada sekitar 68 tahun menerusi pelaksanaan Seruan Istito’ah yang menekankan kesiapsiagaan kewangan bakal jemaah.

Lembaga Tabung Haji (TH) berkata, unjuran itu dibuat berdasarkan keadaan semasa yang menyaksikan jumlah pendaftar haji jauh lebih besar berbanding kuota haji Malaysia setiap tahun.

Menurutnya, pendeposit yang baru memperoleh kelayakan giliran haji ketika ini berdepan tempoh menunggu melebihi 100 tahun, namun angka itu bukan tempoh tetap kerana bergantung kepada kuota tahunan, jumlah pendeposit serta pengurusan haji dari semasa ke semasa.

“Berdasarkan anggaran semasa TH, pelaksanaan Seruan Istito’ah berpotensi mengurangkan tempoh menunggu daripada 147 tahun kepada sekitar 68 tahun,” menurut TH dalam kenyataannya.

Bagaimanapun, TH menegaskan angka 68 tahun itu hanyalah unjuran dan bukan jaminan seseorang pendeposit akan mendapat tawaran haji dalam tempoh berkenaan.

Sebaliknya, penyusunan semula giliran bertujuan memastikan senarai menunggu lebih mencerminkan jumlah bakal jemaah yang benar-benar bersedia dari sudut kewangan apabila tiba giliran mereka.

Keperluan itu dilihat penting apabila lebih 80 peratus daripada kira-kira 4.1 juta pendeposit yang sudah mendaftar haji masih mempunyai simpanan kurang RM15,000.

Keadaan tersebut menunjukkan sebahagian besar pendeposit sudah mempunyai giliran, tetapi belum mempunyai simpanan mencukupi untuk membuat persediaan kewangan bagi menunaikan haji.

Menerusi Seruan Istito’ah, TH menetapkan RM15,000 sebagai syarat simpanan minimum bagi kelayakan giliran haji secara automatik, dengan pendeposit sedia ada diberikan tempoh sehingga 31 Disember 2028 untuk mencapai jumlah berkenaan secara berperingkat.

Mulai 1 Januari 2029, kelayakan giliran akan disusun semula berdasarkan pematuhan syarat itu, dengan prinsip “yang dahulu didahulukan” masih dikekalkan dalam kalangan pendeposit yang memenuhi syarat.

TH menjelaskan jumlah RM15,000 ditetapkan sebagai ukuran asas kesiapsiagaan kewangan dan bersamaan kadar asas bayaran haji semasa bagi kumpulan B40.

Langkah itu juga dijangka mengurangkan keadaan apabila tawaran haji perlu ditangguhkan atau ditawarkan semula kerana bakal jemaah yang sampai giliran masih tidak mempunyai persediaan kewangan mencukupi.

Malah, keperluan baki minimum RM15,000 sudah digunakan sejak 2025 sebagai syarat menerima surat tawaran haji, yang membantu menurunkan kadar penangguhan tawaran kepada 18 peratus berbanding purata 50 peratus pada tahun-tahun sebelumnya**.

“Matlamat akhirnya ialah memastikan giliran bukan sekadar tentang menunggu lebih lama, tetapi tentang bersedia lebih awal,” menurut TH.

Dalam perkembangan berkaitan, TH mengekalkan kos haji bagi musim 1448H/2027M pada RM33,300 seorang, iaitu untuk tahun keempat berturut-turut.

TH turut meneruskan Bantuan Kewangan Haji secara bersasar kepada kumpulan B40 dan M40 bagi membantu mengurangkan beban kos menunaikan ibadah berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles