600,000 Peluang Kerja Menerusi Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia

KUALA LUMPUR: Bertujuan mengurangkan masalah pengangguran di negara ini, Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia menyediakan 600,000 peluang pekerjaan tahun ini dengan peruntukan RM4.8 bilion.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata inisiatif bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ itu seiring dengan penciptaan peluang pekerjaan yang merupakan teras utama di bawah Bajet 2022.

“Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia ini merupakan manifestasi komitmen kerajaan dalam menyediakan peluang pekerjaan yang lebih menyeluruh dan menghasilkan pembangunan ekonomi yang lebih mampan, di samping memacu usaha pemulihan negara secara berstruktur dan menyumbang ke arah pengukuhan pasaran tenaga kerja negara,” katanya di Majlis Pelancaran Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia dan Karnival Kerjaya JaminKerja Keluarga Malaysia 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

JaminKerja Keluarga Malaysia merangkumi tiga program utama iaitu JaminKerja Insentif Penggajian, JaminKerja Inisiatif Latihan dan Penempatan Jangka Pendek (MySTEP), serta Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran (Upskill Malaysia).

Manakala JaminKerja Inisiatif Pengajian akan dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang menyasarkan 300,000 peluang pekerjaan, manakala MySTEP menawarkan 80,000 peluang pekerjaan dalam sektor awam, syarikat milik kerajaan (GLC) dan strategik.

Upskill Malaysia pula dilaksanakan HRD Corp dengan menyediakan latihan kemahiran untuk pencari kerja bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka serta menjamin penempatan pekerjaan dengan sasaran 220,000 orang pelatih.

Ismail Sabri berkata, program JaminKerja MySTEP menyasarkan 80,000 peluang pekerjaan secara kontrak yang merangkumi 50,000 pekerjaan sektor awam dan selebihnya dalam GLC untuk tahun ini.

Melalui peruntukan RM1.7 bilion, MySTEP akan diterajui Agensi Pelaksanaan Ekonomi dan Koordinasi Strategik Nasional (LAKSANA) di bawah Kementerian Kewangan yang akan melaksanakan kolaborasi strategik bersama agensi kerajaan lain.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata Kementerian Sumber Manusia menyediakan 312 program temu duga terbuka dan karnival pekerjaan sepanjang tahun ini.

BBerkaitan

Latest articles