KOTA BHARU: Seramai 34 pemilik kenderaan di Kelantan telah dihadapkan ke mahkamah sehingga Jun lalu kerana membenarkan kenderaan mereka digunakan individu yang tidak memiliki lesen memandu sah.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Misuari Abdullah, berkata tindakan mahkamah itu antara langkah penguatkuasaan yang dipertingkatkan bagi membendung kegiatan pemilik kenderaan tempatan menyewakan atau meminjamkan kenderaan kepada warga asing tanpa lesen.
Menurutnya, Kelantan menjadi antara negeri terawal mengambil tindakan terus terhadap pemilik kenderaan yang didapati melanggar peraturan berkenaan.
“Sehingga Jun lalu, sebanyak 34 kes membabitkan pemilik kenderaan telah dibawa ke mahkamah dan jumlah denda yang dikenakan mencecah RM34,000,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Tindakan itu susulan pengesanan taktik baharu membabitkan warga Rohingya yang menyewa kenderaan daripada penduduk tempatan untuk kegunaan harian.
Lebih mengejutkan, kenderaan yang disewa bukan hanya membabitkan model biasa, malah turut melibatkan kenderaan mewah.
Kadar sewaan pula dilaporkan antara RM50 hingga RM500 sebulan, bergantung kepada jenis kenderaan dan persetujuan antara pemilik dengan penyewa.
Dalam perkembangan berkaitan, Misuari sebelum ini memaklumkan bahawa warga Rohingya membentuk kira-kira 85 peratus daripada pesalah warga asing yang dikenakan tindakan dalam Operasi Pemandu Warga Asing (Ops PEWA) di Kelantan bagi tempoh Januari hingga Jun lalu.
Sepanjang operasi itu, sebanyak 180 kenderaan diperiksa, dengan 105 daripadanya disita.
JPJ Kelantan turut mengeluarkan 201 notis yang membabitkan keseluruhan 439 kesalahan.
Kesalahan paling banyak direkodkan ialah memandu tanpa lesen memandu sah dengan 210 kes, manakala 105 kes lagi melibatkan penyalahgunaan cukai jalan.
JPJ menegaskan warga Rohingya, seperti mana individu lain, tidak dibenarkan memandu di Malaysia sekiranya tidak memiliki lesen memandu yang sah.
Pada masa sama, pemilik kenderaan yang menyewakan atau meminjamkan kenderaan kepada individu tanpa lesen juga boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 23(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987, selain kenderaan yang digunakan turut berisiko disita.
Sehubungan itu, Misuari mengingatkan pemilik kenderaan supaya tidak mengambil mudah perkara berkenaan hanya kerana mahu memperoleh pendapatan sampingan.
Beliau menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pemilik yang membenarkan kenderaan mereka digunakan oleh individu yang tidak mempunyai lesen memandu sah.










