28 Aktivis Sumud Nusantara 2.0 Selamat Tiba Ke Tanah Air

SEPANG – Seramai 28 aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini malam ini selepas menyertai pelayaran solidariti ke Gaza bagi memecahkan kepungan haram di wilayah Palestin itu.

Penerbangan Emirates Airlines yang membawa kumpulan aktivis berkenaan selamat mendarat kira-kira pukul 9.30 malam sebelum mereka disambut ahli keluarga, rakan-rakan serta penyokong perjuangan Palestin di balai ketibaan antarabangsa.

Antara delegasi yang tiba ialah Kapten Osman atau Osman bin Zulkifli, seorang nakhoda dan aktivis kemanusiaan Malaysia yang ditugaskan mengemudi kapal Eros dalam misi berkenaan, selain Dr Jihan Aliya yang kini berkhidmat di Hospital Tawau serta Kapten Siva atau Captain S. Patmanathan, seorang aktivis kemanusiaan veteran Malaysia.

Kapten Osman ketika berucap berkata pengalaman menyertai misi tersebut memberikan kesedaran mendalam mengenai penderitaan rakyat Palestin yang berdepan kekejaman berterusan sejak sekian lama.

Beliau berkata delegasi berkenaan berdepan situasi sukar termasuk dipintas sebanyak dua kali ketika berada di perairan antarabangsa selain melalui pengalaman ditahan di atas kapal yang disifatkan seperti “penjara terapung”.

“Kami bukan hero atau pejuang, tetapi hanya pengantara untuk membawa suara mengenai kekejaman terhadap rakyat Palestin kepada masyarakat dunia,” katanya.

Sementara itu, Dr Jihan Aliya berkata pengalaman menyertai GSF 2.0 amat bermakna dan membuka mata mengenai penderitaan sebenar rakyat Palestin.

Beliau yang menyertai misi itu sebagai sebahagian daripada pasukan perubatan berkata delegasi Malaysia berpeluang bekerjasama dengan aktivis dan sukarelawan kemanusiaan dari pelbagai negara dalam usaha memecahkan kepungan serta membuka laluan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Menurut beliau, sepanjang pelayaran itu, mereka turut berdepan pengalaman mencemaskan apabila kapal mereka dipintas sebanyak dua kali di perairan antarabangsa, termasuk ketika berada di Greece dan Turkiye.

“Kami menjadi saksi kepada tindakan keras tentera Israel terhadap aktivis-aktivis yang tidak bersenjata. Kami dilayan secara brutal, namun apa yang kami lalui ini masih terlalu kecil jika dibandingkan dengan penderitaan rakyat Palestin yang telah bertahun-tahun berdepan penindasan dan kekejaman,” katanya.

Beliau turut menyeru masyarakat antarabangsa agar terus menunjukkan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin dan memainkan peranan masing-masing dalam usaha membebaskan Gaza daripada kepungan berterusan.

Dalam pada itu, Kapten Siva Kapten Siva atau Captain S. Patmanathan pula berkata sokongan dan doa rakyat Malaysia sepanjang misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 menjadi antara kekuatan utama kepada delegasi kemanusiaan berkenaan untuk terus meneruskan perjuangan solidariti terhadap Palestin.

Aktivis kemanusiaan itu berkata beliau berasa bangga dapat mewakili rakyat Malaysia dalam misi antarabangsa tersebut bersama delegasi pelbagai negara.

Beliau turut berkongsi pesanan anak lelakinya yang berusia 10 tahun sebelum beliau berlepas menyertai misi berkenaan, yang menurutnya menjadi pembakar semangat untuk terus memperjuangkan isu kemanusiaan di Gaza.

“Anak saya berkata, ‘Papa, I really proud of you. You just go for Gaza. If you are not come back, no problem. After 10 years, I will go and join Sumud Nusantara’,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan ketibaan delegasi di KLIA malam ini.

Menurut beliau, pengalaman yang dilalui sepanjang misi tersebut masih terlalu kecil berbanding penderitaan sebenar rakyat Palestin yang terus berdepan kekejaman dan penindasan di Gaza.

Kapten Siva turut menyeru rakyat Malaysia supaya terus mengekalkan solidariti dan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin serta tidak berhenti menyuarakan isu kemanusiaan yang berlaku di Gaza.

Global Sumud Flotilla 2.0 merupakan antara inisiatif solidariti antarabangsa yang digerakkan aktivis pelbagai negara bagi membawa mesej kemanusiaan serta menuntut pembukaan laluan bantuan ke Gaza.

BBerkaitan

Latest articles