13 Ahli ‘Lawan’ Presiden, Dakwa Tindakan Penggantungan Tidak Sah

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Haniza Talha mendakwa penggantungan keahlian dirinya dan 12 yang lain tidak sah kerana tidak mengikut prosedur ditetapkan,

“Semua individu tersebut memegang jawatan selepas dipilih oleh ahli parti dan bukannya secara lantikan. Kalau lantikan presiden bolehlah dipecat tetapi kami ini dipilih oleh ahli parti.

“Sehingga kini, mereka kekal ahli PBM dan sebarang penggantungan perlu mengikut prosedur ditetapkan. Mana boleh ahli dipilih dibuang macam itu sahaja, penggantungan ahli itu juga tidak sah,” demikian memetik Sinar Harian.

Kemelut melanda PBM semakin parah apabila Presidennya, Datuk Larry Sng Wei Shien menggantung keahlian dan jawatan 13 Ahli Majlis Tertinggi parti itu.

Penggantungan itu dibuat kerana Larry mendakwa penglibatan individu berkenaan yang didapati menggugat kepentingan parti dan kepimpinan.

Selain Haniza dan Datuk Seri Zuraida Kamaruddin, mereka lain digantung ialah Daroyah Alwi, Rahimah Majid, Dr Sathiskumar Govindaraju, Muhammad Saiful Bahari Sahari, Na’im Brundage, Abdul Aziz Abdul Kadir, Zakaria Abdul Rahim, Muniraa Abu Bakar, Chua Lian Chye, Roger Tan Seng Huat dan Albakri Salim.

Tindakan itu dibuat sehari selepas Setiausaha Agung PBM, Nor Hizwan Ahmad dan Ketua Penerangan, Zakaria Abdul Hamid digantung jawatan berkuat kuasa serta-merta.

Tambah Haniza, sebarang keputusan mesti ditentukan dalam mesyuarat dengan menggunakan saluran yang betul.

“Apa-apa keputusan mesti dibuat dalam mesyuarat dan tidak boleh salah guna kuasa dengan hanya memaklumkan penggantungan ahli menerusi satu hantaran di Facebook.

“Dia (Larry) tidak melihat perlembagaan. Ini kerana apa-apa keputusan perlu dibuat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi, persidangan agung tahunan parti.

“Bukan dengan tindakan seperti ini yang mana keputusan dibuat secara berseorangan untuk pecat serta gantung keahlian seseorang. Dia tidak boleh salah guna kuasa dan semua perkara kena ikut prosedur dan perlembagaan ditetapkan,” jelasnya.

BBerkaitan

Latest articles