Zahid Tegaskan Sokongan BN Kepada Kerajaan Perpaduan Kekal Hingga Tamat Penggal

JELEBU: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan sokongan Barisan Nasional (BN) terhadap Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan akan diteruskan sehingga tamat penggal pentadbiran seperti dipersetujui sebelum ini.

Beliau berkata, komitmen tersebut tidak akan berubah walau apa juga keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

“Kita telah membuat komitmen berdasarkan perjanjian dan resolusi bahawa kita akan menyokong kerajaan sedia ada di Putrajaya sehingga tamat penggal.

“Itu adalah pendirian yang sangat tegas, tanpa mengira apa juga keputusan PRN Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hubungannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Ahmad Zahid, hubungan beliau dengan Anwar kekal baik dan profesional, malah mesyuarat Jemaah Menteri berjalan seperti biasa tanpa sebarang masalah.

“Saya tidak nampak sebarang permasalahan. Hubungan kami sangat kordial dan kami merupakan satu kumpulan profesional yang dapat membezakan antara isu nasional dengan isu pilihan raya negeri.

“Keutamaan kami ialah menangani isu-isu nasional dan tidak ada sebarang perbezaan pandangan dalam pelaksanaan dasar kerajaan di peringkat Persekutuan,” katanya.

Mengulas kerjasama antara jentera BN dan PN sepanjang kempen, beliau mengakui masih terdapat beberapa isu yang perlu diselesaikan memandangkan persefahaman itu baru bermula.

“Persefahaman ini baru berjalan seminggu. Sudah tentu keserasian perlu diwujudkan dan terdapat beberapa titik bengik yang perlu diselesaikan.

“Saya fikir beri peluang kepada mereka untuk menyelesaikan perkara-perkara tersebut kerana masih banyak ruang untuk dipertingkatkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata cadangan mewujudkan jawatan Pegawai Khas Hal Ehwal Orang Asli di Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan boleh dilaksanakan secara pentadbiran tanpa perlu dimasukkan dalam manifesto pilihan raya.

Katanya, cadangan itu dibuat berdasarkan permintaan masyarakat Orang Asli dan model sama telah dilaksanakan di Pahang serta Perak.

“Saya fikir permintaan itu munasabah kerana jawatan tersebut telah diwujudkan di Pahang dan Perak serta membantu menghubungkan kepimpinan masyarakat Orang Asli dengan Pejabat Menteri Besar.

“Saya juga mencadangkan agar Johor turut mempertimbangkan pelantikan pegawai khas yang mewakili masyarakat Orang Asli,” katanya.

Mengulas dakwaan bahawa kerjasama BN-PN tidak akan bertahan, Ahmad Zahid hanya berkata, keputusan sebenar akan ditentukan oleh rakyat pada hari pengundian.

“Kita tengoklah siapa yang karam dan siapa yang timbul pada 1 Ogos nanti,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles