Dakwaan 200,000 Pekerja Bangladesh Masuk Malaysia Tidak Benar – Ramanan

KUALA LUMPUR: Dakwaan bahawa Malaysia akan menerima kemasukan kira-kira 200,000 pekerja asing dari Bangladesh adalah tidak benar dan tidak berasas, menurut Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, kementerian itu telah mengeluarkan kenyataan pada 2 September 2026 bagi menafikan dakwaan berkenaan yang dilaporkan media Bangladesh, The Daily Star pada 30 Ogos lalu.

Menurutnya, pengambilan pekerja asing di Malaysia ditentukan berdasarkan keperluan sebenar pasaran buruh tempatan dan bukannya sasaran yang ditetapkan oleh negara sumber pekerja.

“Pengambilan pekerja asing di Malaysia adalah berlandaskan kepada keperluan sebenar pasaran buruh tempatan, bukannya berasaskan sasaran yang dinyatakan oleh pihak atau negara sumber,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Khamis bagi menjawab soalan Dato’ Sri Dr Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) yang meminta penjelasan mengenai justifikasi anggaran kemasukan 200,000 pekerja Bangladesh serta jumlah sebenar kekosongan pekerja asing yang diperlukan industri Malaysia dalam tempoh enam bulan akan datang mengikut sektor dan negeri.

Ramanan berkata, kerajaan mengawal kebergantungan terhadap tenaga kerja asing melalui pengehadan peratusan pekerja asing secara tahunan seperti yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Menurutnya, pengambilan pekerja asing di negara ini tertumpu kepada tujuh sektor utama.

Sektor berkenaan ialah perkilangan atau pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perladangan, pertanian, pekerja domestik atau pembantu rumah asing serta perlombongan dan pengkuarian.

Bagaimanapun, jawapan bertulis itu tidak memperincikan jumlah kekosongan pekerja asing yang diperlukan industri mengikut sektor dan negeri bagi tempoh enam bulan akan datang.

BBerkaitan

Latest articles