5,234 Pakar Malaysia Kembali Bekerja Menerusi REP Sejak 2011

KUALA LUMPUR: Seramai 5,234 pakar rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara telah kembali bekerja di tanah air menerusi Program Kepulangan Pakar (REP) sejak 2011 hingga Ogos 2026.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, pencapaian itu direkodkan daripada 12,850 permohonan yang diterima menerusi program berkenaan, dengan 8,093 permohonan diluluskan dalam tempoh tersebut.

Menurutnya, REP yang dilaksanakan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) terus menjadi mekanisme penting bagi menarik kembali rakyat Malaysia berkemahiran tinggi untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

“Sejak 2011 sehingga Ogos 2026, REP telah menerima sebanyak 12,850 permohonan, dengan 8,093 permohonan diluluskan dan 5,234 pakar telah kembali bekerja di Malaysia,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) yang meminta Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menyatakan strategi bagi memastikan penempatan bakat tempatan berkepakaran dalam sektor pekerjaan domestik bernilai tinggi serta keberkesanan REP berdasarkan statistik permohonan dan kelulusan.

Mengulas usaha membangunkan bakat tempatan, Ramanan berkata, KESUMA melalui TalentCorp melaksanakan program MyBakat SkillsLab bagi mengenal pasti keperluan kemahiran dan bentuk latihan bersesuaian mengikut sektor industri.

Katanya, setiap Future Skills Talent Council (FSTC) yang diterajui pemain industri bertanggungjawab mengenal pasti keperluan berkenaan bagi memastikan latihan yang disediakan memenuhi permintaan pasaran pekerjaan.

“Pelatih yang berjaya menamatkan MyBakat SkillsLab akan ditawarkan penempatan pekerjaan dengan gaji permulaan antara lima hingga 15 peratus lebih tinggi daripada purata gaji permulaan,” katanya.

Beliau berkata, setakat Ogos 2026, seramai 2,794 peserta telah menamatkan program MyBakat SkillsLab dan memperoleh penempatan pekerjaan.

Dalam pada itu, Ramanan berkata, TalentCorp turut memperkukuh usaha membangunkan konsep brain circulation dengan memanfaatkan kepakaran serta jaringan rakyat Malaysia di luar negara sebagai aset strategik negara.

Menurutnya, menerusi inisiatif MyHeart, diaspora Malaysia yang mempunyai kepakaran dihubungkan dengan peluang pekerjaan bersesuaian berdasarkan pengalaman, kepakaran dan tahap kemahiran mereka.

Usaha itu turut dilaksanakan melalui MyHeart Networking Session yang menyediakan akses kepada peluang pekerjaan serta jaringan industri di Malaysia.

“Sebagai komponen baharu, MyHeart Global Connect (MGC) pula menghimpunkan pakar diaspora terpilih untuk memberi khidmat nasihat, berkongsi kepakaran dan meneroka peluang kerjasama dengan pihak berkepentingan di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, tumpuan awal MGC merangkumi bidang kecerdasan buatan (AI), teknologi dan keusahawanan, penjagaan kesihatan serta keutamaan strategik Malaysia-Singapura.

Bagi memudahkan kepulangan bakat diaspora bersama keluarga, kerajaan turut menyediakan garis panduan permohonan permit masuk di bawah kategori REP.

Ramanan berkata, garis panduan itu disediakan menerusi kerjasama KESUMA, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia dan TalentCorp.

“Garis Panduan Permohonan Permit Masuk di bawah Kategori REP sebagai rujukan yang lebih jelas berkaitan tatacara permohonan permit masuk bagi tanggungan peserta REP, sekali gus meningkatkan keyakinan bakat berkemahiran tinggi untuk kembali ke Malaysia bersama keluarga,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles