Kerajaan Sedia RM150 Juta Rebat Pemasangan Solar Kediaman

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan RM150 juta menerusi Program Sustainable Rebate and Incentive Assistance (SuRIA) Home bagi membantu mengurangkan kos pemasangan panel solar di kediaman.

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, pengguna domestik yang layak boleh menerima rebat RM600 bagi setiap satu kilowatt (kW), sehingga maksimum RM3,000 untuk pemasangan solar berkapasiti lima kW.

Menurutnya, pemberian rebat itu tertakluk kepada syarat program berkenaan sehingga 31 Disember 2026.

“Kerajaan mengambil pendekatan menyeluruh dalam memperluaskan penggunaan tenaga solar dan elektrifikasi sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan daya tahan sistem tenaga negara serta mengurangkan kebergantungan secara berperingkat kepada bahan api fosil,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Khamis.

Terdahulu Salmiah Mohd Nor (PN-Temerloh) bertanyakan perancangan kerajaan memperluas penggunaan tenaga solar untuk kediaman dan kenderaan, termasuk insentif, infrastruktur pengecasan serta langkah mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga konvensional ketika menghadapi risiko krisis tenaga.

Mengulas lanjut, Arthur berkata, kerajaan turut melaksanakan Program Solar Accelerated Transition Action Programme (Solar ATAP) mulai 1 Januari 2026 sebagai kesinambungan kepada Program Net Energy Metering (NEM).

Katanya, Solar ATAP dilaksanakan tanpa kuota khusus dengan memberi penekanan kepada penjanaan tenaga solar untuk kegunaan sendiri, selain membenarkan lebihan tenaga dieksport ke grid sebagai offset tertakluk kepada mekanisme ditetapkan.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan turut menyokong peningkatan penggunaan kenderaan elektrik (EV) melalui pembangunan ekosistem pengecasan yang lebih meluas.

Menurutnya, pertambahan penggunaan EV perlu disertai pembangunan infrastruktur pengecasan, pengukuhan rangkaian pengagihan elektrik serta penggunaan sumber tenaga yang lebih bersih.

“Pertambahan penggunaan EV perlu bergerak seiring dengan pembangunan infrastruktur pengecasan, pengukuhan rangkaian pengagihan dan penggunaan elektrik yang lebih bersih supaya elektrifikasi sektor pengangkutan benar-benar menyumbang kepada pengurangan pelepasan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan turut memberi tumpuan kepada kepelbagaian sumber tenaga, peningkatan tenaga boleh baharu (TBB), kecekapan tenaga, pemodenan grid serta pembangunan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) bagi menghadapi risiko krisis tenaga global.

Jelasnya, langkah berkenaan bertujuan mengurangkan pendedahan negara terhadap turun naik harga bahan api antarabangsa dan gangguan rantaian bekalan.

“Pelaksanaan semua langkah ini akan terus mengambil kira prinsip trilema tenaga supaya peralihan kepada sistem tenaga yang lebih bersih tidak menjejaskan jaminan bekalan dan kemampuan kos kepada rakyat,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles