Kerajaan Kekal Caruman KWSP Pekerja Asing Pada Kadar Dua Peratus

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengekalkan kadar caruman majikan sebanyak dua peratus bagi pekerja bukan warganegara yang bekerja di Malaysia, dengan mengambil kira keperluan melindungi kebajikan pekerja dan kos yang ditanggung majikan.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kadar itu dianggap relatif rendah bagi mengimbangi objektif perlindungan sosial pekerja dengan cabaran peningkatan kos perniagaan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menurutnya, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mandatori bagi pekerja bukan warganegara mula berkuat kuasa pada Oktober 2025 selaras dengan peruntukan Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991.

“Kerajaan mengambil maklum cabaran yang dihadapi oleh majikan berhubung peningkatan kos perniagaan, khususnya kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

“Sehubungan itu, kadar dua peratus bagi syer majikan merupakan kadar yang relatif rendah, dengan mengambil kira keperluan mengimbangi objektif perlindungan sosial pekerja dengan pertimbangan kos yang ditanggung oleh majikan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Khamis bagi menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang meminta kerajaan menjelaskan langkah mengurangkan beban PKS susulan peningkatan kos perniagaan, termasuk cadangan supaya caruman KWSP pekerja asing ditanggung sepenuhnya oleh pekerja terbabit.

Anwar berkata, pelaksanaan caruman mandatori itu bertujuan memperluas perlindungan sosial kepada semua pekerja di Malaysia, selain menyediakan simpanan asas kepada pekerja bukan warganegara sepanjang tempoh mereka bekerja di negara ini.

Menurutnya, langkah itu juga bagi merapatkan jurang kesaksamaan antara pekerja tempatan dengan pekerja asing serta menyokong prinsip keadilan dan keterangkuman dalam sistem persaraan negara.

Sejak pelaksanaan caruman mandatori itu pada Oktober 2025, seramai 78,129 majikan telah membuat caruman KWSP bagi 1.75 juta pekerja bukan warganegara.

Daripada jumlah itu, sebanyak 67,194 majikan atau 86 peratus terdiri daripada PKS, menunjukkan pelaksanaan berkenaan turut melibatkan sebahagian besar perusahaan dalam kategori tersebut.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengurangkan beban kos operasi dan pematuhan yang ditanggung PKS.

Antaranya, mulai 1 Januari 2026, had jualan tahunan penyewa PKS yang dikecualikan daripada cukai perkhidmatan ke atas sewaan dinaikkan daripada RM1 juta kepada RM1.5 juta.

Selain itu, PKS baharu turut diberikan pengecualian cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan sewaan atau pajakan selama setahun bermula dari tarikh pendaftaran.

Kerajaan juga melanjutkan tempoh peralihan pelaksanaan e-Invois Fasa 4 selama 12 bulan sehingga 31 Disember 2027 bagi perniagaan dengan jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta.

“Berkuat kuasa 1 September 2026, nilai ambang pelaksanaan e-Invois dinaikkan daripada RM1 juta kepada RM3 juta, iaitu PMKS dengan pendapatan atau jualan tahunan kurang daripada RM3 juta tidak diwajibkan melaksanakan e-Invois,” katanya.

Bagi membantu perniagaan yang terjejas akibat konflik Asia Barat, beliau berkata, kerajaan menyediakan jaminan pembiayaan RM5 bilion di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP).

Melalui skim itu, liputan pembiayaan ditingkatkan daripada sehingga 70 peratus kepada 80 peratus, manakala tempoh jaminan dilanjutkan sehingga 10 tahun berbanding tujuh tahun sebelum ini.

Selain itu, Bank Negara Malaysia memperkenalkan Kemudahan Bantuan Penstabilan PKS (SME SRF) bernilai RM5 bilion bagi membantu perusahaan yang terjejas, termasuk perusahaan mikro.

PKS yang layak boleh memperoleh pembiayaan sehingga RM750,000 bagi tempoh maksimum lima tahun pada kadar faedah tidak melebihi 3.75 peratus setahun.

Mengulas langkah tambahan menerusi Belanjawan 2027, Anwar berkata, kerajaan mengumumkan penurunan kadar cukai pendapatan PKS sebanyak satu mata peratusan.

Kadar cukai bagi pendapatan bercukai RM150,000 pertama diturunkan kepada 14 peratus, manakala bagi banjaran RM150,001 hingga RM600,000, kadar baharu ditetapkan pada 16 peratus.

Kerajaan turut menyediakan tambahan dana RM5 bilion bagi kemudahan SME SRF sehingga 30 Jun 2027 atau sehingga peruntukan digunakan sepenuhnya.

Di samping itu, sebanyak RM270 juta disediakan bagi menarik modal swasta melalui platform pendanaan ramai berasaskan ekuiti (ECF) dan pembiayaan rakan setara (P2P) untuk menyokong PKS.

“Kerajaan akan terus memantau keberkesanan inisiatif-inisiatif ini serta melibat urus dengan persatuan dan komuniti PKS, bagi memastikan bantuan yang disediakan sampai kepada perniagaan yang memerlukan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles