Razlan Mahu Polis Jelaskan Status Laporan Terhadap Peguam Negara

KUALA LUMPUR: Polis digesa memberikan penjelasan kepada umum berhubung status laporan polis yang dibuat terhadap Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar susulan kontroversi pelaksanaan perintah tahanan rumah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata, pihak polis wajar memaklumkan sama ada siasatan sudah dimulakan, laporan masih dalam penelitian atau keputusan telah dibuat untuk tidak mengambil tindakan lanjut.

Menurutnya, orang ramai berhak mengetahui perkembangan tindakan susulan selepas laporan berkenaan diterima pihak berkuasa.

“Jika siasatan sedang berjalan, nyatakan statusnya setakat yang boleh dikongsi.

“Jika tiada tindakan lanjut, jelaskan asas keputusan itu. Soalannya mudah. Apa tindakan yang telah diambil selepas laporan itu diterima?” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Kontroversi berkenaan tercetus pada 6 November lalu apabila pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib yang dijadualkan selepas pembayaran denda RM50 juta ditangguhkan sementara susulan campur tangan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Sebelum itu, Najib dilaporkan selesai menjelaskan denda RM50 juta di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebagai syarat pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 18 September lalu.

Bagaimanapun, AGC meminta pelaksanaan tahanan rumah itu ditangguhkan sementara bagi mendapatkan penelitian dan penjelasan lanjut berhubung tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat serta kesan Perintah Pelepasan yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi.

AGC turut membangkitkan persoalan mengenai implikasi pelaksanaan hukuman dalam kes SRC International terhadap hukuman penjara berasingan Najib dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perkembangan itu mencetuskan reaksi apabila Istana Negara pada 7 November mengeluarkan kenyataan bahawa titah pengampunan bersyarat berkenaan adalah jelas, nyata dan tidak mempunyai sebarang kekaburan.

Yang di-Pertuan Agong turut bertitah bahawa semua syarat dalam perintah pengampunan itu telah dipenuhi dan sebarang hujah mempertikaikannya menjurus kepada tindakan mengingkari titah Seri Paduka Baginda.

Susulan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Peguam Negara menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menjelaskan persoalan perundangan yang timbul serta menyatakan pendirian untuk mematuhi titah baginda.

Sehubungan itu, Razlan yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah serta Ketua UMNO Bahagian Seputeh mempersoalkan tindakan susulan pihak polis terhadap laporan yang dibuat terhadap Peguam Negara.

BBerkaitan

Latest articles