KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan kononnya kepimpinan BN akan mengadakan pertemuan bersama Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau langsung tidak mengetahui mengenai dakwaan yang tular di media sosial dan menegaskan tiada sebarang pertemuan seperti didakwa akan berlangsung.
“Saya tak tahu. Memang tak ada. Saya pun tak tahu-menahu mengenai perkara itu. Saya sudah semak, termasuk dengan Menteri Dalam Negeri dan berdasarkan maklumat yang saya terima, memang tidak ada,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Hari Imigresen Ke-104 di Cyberjaya, hari ini.
Dalam pada itu, Presiden UMNO itu sekali lagi menegaskan bahawa pendirian BN tidak berubah dan gabungan berkenaan akan terus kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Menurutnya, pendirian tersebut adalah selaras dengan resolusi yang diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO, yang merupakan badan tertinggi parti.
“Tiada badan yang lebih tinggi daripada Perhimpunan Agung UMNO dan kita menghormati sepenuhnya keputusan itu. Jadi, saya harap semua pihak tidak perlu bimbang atau membuat sebarang spekulasi,” katanya.
Terdahulu, media sosial dibanjiri dakwaan bahawa pemimpin tertinggi BN, PN, GPS dan GRS dijadual mengadakan satu sidang media pada jam 2 petang hari ini.
Bagaimanapun, sumber yang menyebarkan maklumat itu tidak menjelaskan tujuan sidang media berkenaan.










