KUALA LUMPUR: Golongan berpendapatan rendah merangkumi kira-kira 70 peratus daripada keseluruhan pengguna aktif skim Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL) di Malaysia, menurut dapatan tinjauan Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP).
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, SKP memberi tumpuan khusus kepada perlindungan golongan yang mudah terdedah kepada risiko kewangan, termasuk golongan muda dan berpendapatan rendah.
Menurutnya, BNPL kini dikawal selia di bawah Akta Kredit Pengguna 2025 [Akta 873] bagi memastikan amalan pemberian kredit dilaksanakan secara adil dan bertanggungjawab.
“Bagi melindungi pengguna kredit daripada berhutang melebihi kemampuan mereka, SKP mewajibkan penyedia BNPL menjalankan penilaian kelayakan kredit (creditworthiness assessment) dan penilaian kemampuan berhutang (affordability assessment) sebelum sesuatu pembiayaan diluluskan,” menurut jawapan bertulis beliau di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau menjawab soalan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) mengenai perkembangan penggunaan dan tunggakan BNPL serta langkah kerajaan mengawal risiko keberhutangan berlebihan, khususnya dalam kalangan golongan muda dan berpendapatan rendah.
Anwar berkata, penggunaan BNPL terus meningkat apabila bilangan transaksi pada separuh pertama 2026 bertambah 23.9 peratus kepada 173.9 juta berbanding 140.4 juta pada separuh kedua 2025.
Nilai transaksi turut meningkat 22.5 peratus kepada RM14.7 bilion berbanding RM12 bilion dalam tempoh sama.
Setakat 30 Jun 2026, jumlah pengguna aktif BNPL meningkat 22.7 peratus kepada 9.2 juta, manakala baki terkumpul pembiayaan berkenaan berjumlah RM6.6 bilion.
Bagaimanapun, jumlah pembiayaan tidak berbayar masih terkawal pada RM220.4 juta atau 3.3 peratus daripada keseluruhan baki terkumpul BNPL.
Menurut Anwar, penyedia BNPL juga tidak dibenarkan memberikan atau menambah kemudahan kredit kepada pengguna yang berkemungkinan menghadapi kesukaran memenuhi obligasi pembayaran balik.
Selain itu, penyedia diwajibkan memberikan maklumat jelas mengenai terma, fi dan caj serta memastikan aktiviti pemasaran dan promosi tidak mengelirukan pengguna.
Bagi meningkatkan kesedaran kewangan, SKP turut bekerjasama dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) serta Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) untuk menggalakkan penggunaan BNPL secara berhemat dan bertanggungjawab.










