Tunggakan Projek Jalan Luar Bandar: MOF Lulus Tambahan RM500 Juta

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MOF) meluluskan tambahan perbelanjaan RM500 juta bagi 2026 untuk menampung komitmen projek jalan luar bandar di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan tambahan itu dikenal pasti menerusi penjimatan perbelanjaan pembangunan daripada kementerian lain.

Menurutnya, langkah itu diambil susulan komitmen perbelanjaan KKDW yang melebihi peruntukan asal sehingga mengakibatkan tunggakan dan kelewatan bayaran kepada kontraktor.

“Sejak beberapa tahun lalu, KKDW telah membuat komitmen dan berbelanja lebih daripada peruntukan asal yang diluluskan dalam Belanjawan tahunan untuk projek-projek jalan luar bandar,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) mengenai tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab membenarkan perbelanjaan melebihi peruntukan sebanyak RM2.1 bilion antara 2023 hingga 2025 serta kaedah pemilihan kontraktor.

Anwar berkata, peruntukan asal Program Jalan Luar Bandar (JALB) berjumlah RM1.09 bilion pada 2023, RM1.32 bilion pada 2024 dan RM1.57 bilion pada 2025.

Bagaimanapun, peruntukan itu dipinda masing-masing kepada RM1.85 bilion, RM2.02 bilion dan RM2.27 bilion menerusi pengagihan peruntukan pembangunan sedia ada daripada projek lain melalui kaedah Notice of Change (NOC) dalaman.

“Namun demikian, pindaan peruntukan tersebut masih tidak mencukupi untuk menampung komitmen projek luar bandar KKDW,” katanya.

Sehubungan itu, MOF bersetuju meningkatkan peruntukan projek berkenaan kepada RM2.11 bilion pada 2026 dan RM2.27 bilion pada 2027.

Selain meluluskan peruntukan tambahan, MOF pada 10 September lalu turut mengarahkan KKDW menangguhkan pengeluaran Surat Setuju Terima (SST) baharu bagi projek jalan luar bandar bagi mengelakkan tunggakan bayaran terus meningkat.

KKDW juga diminta menyediakan unjuran keperluan peruntukan sehingga akhir 2026 dan bagi 2027 berdasarkan kontrak yang telah dianugerahkan untuk menentukan jumlah tambahan yang diperlukan.

Berhubung pemilihan kontraktor, Anwar berkata, Program Jalan Luar Bandar secara umumnya dilaksanakan melalui tender, termasuk tender terbuka dan Tender Terbuka Pra-Kelayakan Terpilih (TTPKT).

Bagaimanapun, Laporan Ketua Audit Negara Bilangan 2/2025 mendapati pelaksanaan kaedah TTPKT, termasuk di KKDW, tidak mencapai objektif asal kerajaan.

“Dengan itu, Kementerian Kewangan juga telah menghentikan kelulusan kaedah TTPKT oleh KKDW untuk projek baharu,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles