Guthrie Nafi Dakwaan Cetus Kebakaran Hutan Di Indonesia

KUALA LUMPUR: Guthrie menafikan dakwaan bahawa anak syarikat atau pekerjanya menjadi punca kebakaran hutan di Indonesia, sambil menegaskan tuduhan berkenaan tidak disokong bukti kukuh.

Dalam satu kenyataan, syarikat perladangan itu berkata pemeriksaan terkini tidak menemukan kebakaran aktif di ladangnya di negara berkenaan atau bukti kebakaran berpunca daripada operasi syarikat mahupun pekerjanya.

Guthrie turut menjelaskan beberapa syarikat yang dikaitkan dengannya dalam laporan awam sebenarnya tidak dimiliki, diurus atau dikawal oleh syarikat itu. Laporan yang menggunakan peta lama berkaitan hak guna usaha juga didakwa tidak menggambarkan status pemilikan serta sempadan operasi semasa.

Menurutnya, tindakan membantu memadam kebakaran di luar kawasan operasi tidak seharusnya dianggap sebagai bukti penglibatan dalam mencetuskan kebakaran.

Guthrie berkata pihaknya melaksanakan dasar sifar pembakaran sejak 1985, selain menggunakan pemantauan paras air, teknologi dron dan inframerah serta program pencegahan kebakaran bersama masyarakat.

Anak syarikatnya di Indonesia, Minamas Plantation, turut mempunyai 67 pasukan pemadam kebakaran dengan kekuatan 1,005 anggota terlatih bagi menangani insiden kebakaran di kawasan operasi dan sekitarnya.

Syarikat itu juga menolak dakwaan bahawa pokok sawit di kawasan kebakaran sudah matang dan perlu ditebang, dengan menjelaskan pokok berkenaan masih muda serta produktif. Keadaan itu, menurut Guthrie, tidak menunjukkan wujud keperluan untuk membakar kawasan terbabit bagi tujuan pembersihan tanah.

BBerkaitan

Latest articles