MediAsas Dilancar Januari 2027, Lindungi Warga Emas Daripada Kenaikan Premium

KUALA LUMPUR: Pelan insurans dan takaful perubatan MediAsas akan dilancarkan di peringkat nasional menjelang akhir Januari 2027 bagi memastikan rakyat terus mendapat perlindungan kesihatan pada kadar premium lebih stabil dan mampu milik.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelan itu turut memberi tumpuan kepada pemegang polisi warga emas yang berdepan risiko kenaikan premium insurans dan takaful perubatan.

Menurutnya, bagi pemegang polisi berusia 60 tahun dan ke atas, pelarasan premium MediAsas yang disebabkan faktor umur akan tertakluk kepada had tertentu.

“Pendekatan ini bertujuan mengurangkan impak kenaikan premium yang mendadak serta memastikan kesinambungan perlindungan insurans atau takaful kesihatan untuk warga emas,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab soalan Chong Zhemin (DAP-Kampar) mengenai langkah menangani kenaikan premium insurans dan takaful perubatan serta memastikan pemegang polisi, khususnya warga emas, mampu mengekalkan perlindungan.

Anwar berkata, kerajaan komited memastikan rakyat Malaysia memperoleh perlindungan kesihatan yang mampu milik dan mampan.

Menurutnya, bagi penyelesaian jangka pendek, syarikat insurans dan pengendali takaful telah melaksanakan langkah interim sejak Disember 2024 untuk membantu pemegang polisi yang terjejas akibat kenaikan premium tinggi.

Langkah itu termasuk mengehadkan kadar pelarasan premium bagi tempoh tertentu, menawarkan produk alternatif lebih mampu milik serta menyediakan kemudahan penstrukturan semula pelan mengikut keperluan dan kemampuan pemegang polisi.

Bagi jangka panjang, MediAsas akan menawarkan akses perlindungan kesihatan lebih luas, termasuk kepada warga emas dan individu yang mempunyai keadaan perubatan sedia ada yang stabil serta terkawal.

Pelan itu turut dirangka dengan mekanisme perkongsian risiko lebih meluas antara syarikat insurans dan pengendali takaful bagi memastikan premium lebih mampan dan terkawal.

Selain itu, tadbir urus dan pemantauan berpusat akan dilaksanakan bagi memperkukuh pengurusan kos serta ketelusan penetapan dan kajian semula premium secara berkala.

Anwar berkata, penyeragaman manfaat, harga, pengunderaitan dan proses tuntutan turut menjadi antara ciri pelan berkenaan bagi mewujudkan pengalaman lebih konsisten kepada pengguna.

Dalam pada itu, kerajaan dan industri akan terus melaksanakan pendekatan menyeluruh bagi mengawal peningkatan kos penjagaan kesihatan swasta.

Usaha itu termasuk meningkatkan ketelusan caj perubatan, memperkukuh pengurusan tuntutan serta menambah baik kerjasama antara hospital dengan syarikat insurans dan pengendali takaful.

Langkah berkenaan turut disokong pembaharuan sistem kesihatan menerusi pengenalan sistem pembayaran berasaskan kumpulan berkaitan diagnosis (Diagnosis-Related Group, DRG) dan pendigitalan data kesihatan yang lebih seragam bagi membantu mengawal inflasi kos tuntutan.

BBerkaitan

Latest articles