Zahid Mahu CSA Diperluas Kepada Parti Lain

AYER KEROH: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berharap Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) tidak terhad kepada kumpulan tertentu, sebaliknya diperluas kepada parti politik lain, termasuk daripada blok kerajaan dan pembangkang.

Beliau menyifatkan pemeteraian perjanjian itu sebagai langkah positif dalam memperkukuh kestabilan politik serta memastikan usaha menyelesaikan masalah rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Menurutnya, pendekatan berkenaan bukan perkara baharu kerana pernah dilaksanakan ketika kerajaan terdahulu diterajui wakil UMNO sebagai Perdana Menteri.

“Pada hemat saya, apa yang dilakukan ini satu langkah baik dan pernah dilaksanakan kerajaan ketika wakil UMNO menjadi Perdana Menteri sebelum ini,” katanya kepada media selepas mengiringi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, di pusat penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Khamis lalu, kerajaan memeterai CSA dengan enam Ahli Parlimen Bersatu yang diketuai presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selain Ahli Parlimen Muar daripada MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini menjelaskan bahawa perjanjian itu bertujuan memperkukuh kestabilan politik negara, selain memastikan pentadbiran kerajaan dan pelaksanaan agenda pembangunan, termasuk Belanjawan 2027, berjalan lancar.

Dalam perkembangan berasingan, Zahid menegaskan BN akan memberikan sokongan penuh kepada MCA bagi memastikan parti itu mampu mempertahankan dan memenangi empat kerusi yang ditandingi pada PRN Melaka.

Beliau berkata, kebimbangan mengenai kemungkinan MCA memboikot pilihan raya negeri itu tidak menjadi kenyataan apabila parti berkenaan bersetuju bertanding di kerusi yang diperuntukkan kepadanya.

Zahid berkata, BN akan menggembleng tenaga bagi membantu MCA meraih kemenangan di semua kerusi terbabit, selain berusaha mengurangkan majoriti kemenangan parti lawan di kawasan yang pernah ditandingi sebelum ini.

“Dalam kesepakatan ini, kita akan bekerja keras untuk memastikan semua kerusi yang kita tandingi memperoleh kemenangan, atau sekurang-kurangnya di kerusi yang kita kalah dahulu, kita dapat mengurangkan majoriti mereka,” katanya.

Empat kerusi DUN yang ditandingi MCA ialah Kelebang, Machap Jaya, Bandar Hilir dan Kota Laksamana.

Zahid turut menyatakan bahawa beliau akan mencadangkan Ab Rauf untuk terus menerajui kerajaan negeri sebagai Ketua Menteri sekiranya BN berjaya memperoleh mandat membentuk kerajaan Melaka selepas PRN.

BBerkaitan

Latest articles