MERLIMAU: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh, berdepan saingan satu lawan satu daripada calon Pakatan Harapan (PH), Rahayu Hamzah daripada Amanah, bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021, Akmal berjaya mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 3,248 undi, sekali gus mengekalkan Merlimau sebagai kubu kuat UMNO-Barisan Nasional (BN).
Berdasarkan komposisi pengundi, kawasan berkenaan mempunyai kira-kira 70 peratus pengundi Melayu, diikuti Cina (17 peratus) dan India (11 peratus).
Selepas memenangi kerusi itu pada 2021, Akmal dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka yang memegang portfolio kesihatan sebelum ditukar kepada pembangunan luar bandar, pertanian dan keterjaminan makanan pada 2023.
Beliau turut mengukuhkan kedudukan dalam parti apabila dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO pada 2023 selepas menewaskan tiga pencabar lain bagi jawatan berkenaan.










