79 Calon Sah Bertanding PRU DUN Melaka Ke-16

MELAKA: Seramai 79 calon daripada pelbagai parti politik disahkan bertanding pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Melaka ke-16 selepas proses penamaan calon ditutup pada 10 pagi, Sabtu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan, proses penamaan calon itu dilaksanakan di 28 Pusat Penamaan Calon (PPC) di seluruh negeri berkenaan.

Daripada jumlah itu, Pakatan Harapan (PH) mencatatkan jumlah calon tertinggi iaitu 24 orang, diikuti Barisan Nasional (BN) sebanyak 23 calon.

Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) pula meletakkan 16 calon, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) (tujuh), Perikatan Nasional (PN) (lima), calon Bebas (tiga) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) (seorang).

Menurut SPR, tiada kertas penamaan calon yang ditolak sepanjang proses berkenaan.

“Secara keseluruhannya, bilangan pertandingan mengikut penjuru adalah 11 pertandingan dua penjuru, 11 pertandingan tiga penjuru dan enam pertandingan empat penjuru,” menurut kenyataan itu.

SPR turut memaklumkan, daripada keseluruhan 79 calon yang bertanding, seramai 65 adalah lelaki manakala 14 lagi wanita.

Berdasarkan pecahan umur, kumpulan calon berusia 40 hingga 49 tahun mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 33 orang, diikuti mereka yang berusia 50 hingga 59 tahun (22), 30 hingga 39 tahun (14) dan 60 tahun ke atas (lapan).

Calon tertua ialah Mohamad Jaafar yang mewakili PH di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, berusia 66 tahun, manakala calon termuda ialah Muhammad Mukhlisul Mubin bin Julasapiyah, juga daripada PH, yang bertanding di DUN Kuala Linggi pada usia 24 tahun.

Dalam pada itu, tempoh rasmi berkempen bermula sebaik sahaja pegawai pengurus pilihan raya mengisytiharkan pilihan raya dipertandingkan dan berakhir pada 11.59 malam, 13 November ini.

Bagi memastikan aktiviti kempen berjalan mengikut peraturan, SPR telah menubuhkan 28 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) bagi memantau semua aktiviti calon sepanjang tempoh berkenaan.

SPR turut mengingatkan semua calon supaya memastikan bahan dan aktiviti kempen mematuhi undang-undang, termasuk tidak mengandungi unsur perkauman, menyentuh sensitiviti keagamaan atau hasutan yang boleh mencetuskan permusuhan.

“SPR juga berharap dan mengingatkan agar aktiviti berkempen yang dibenarkan akan berjalan dalam suasana yang penuh harmoni serta mengikut undang-undang dan peraturan-peraturan yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut membuka bilik gerakan selama 24 jam bermula 31 Oktober hingga 14 November ini bagi menerima aduan berkaitan rasuah dan salah guna kuasa sepanjang PRU DUN Melaka ke-16.

Bilik gerakan itu beroperasi di Pejabat SPRM Negeri Melaka, Jalan Alai Perdana, Taman Alai, Melaka.

Aduan boleh disalurkan menerusi talian 06-2896303 atau 06-2896000, selain aplikasi WhatsApp di talian 011-26791569 dan e-mel [email protected].

BBerkaitan

Latest articles