KUALA LUMPUR: Kumpulan penggodam yang menggunakan nama Leakers mengaku bertanggungjawab terhadap serangan siber membabitkan sistem paparan skrin LED di beberapa negara termasuk Malaysia, yang menyebabkan kandungan tidak senonoh dipaparkan di beberapa lokasi di Kluang, Johor, pada Khamis.
Menurut laporan portal penyiasatan The Cairo Report, kumpulan itu mendakwa berjaya mengeksploitasi kelemahan keselamatan dalam perisian yang digunakan untuk menghantar kandungan kepada paparan LED.
Wakil kumpulan berkenaan memberitahu portal itu bahawa serangan tersebut bukan menyasarkan syarikat atau negara tertentu, sebaliknya dilakukan menerusi proses pengimbasan automatik bagi mengenal pasti sistem yang terdedah kepada pencerobohan.
Mereka mendakwa berjaya mengenal pasti ribuan sistem yang mempunyai kelemahan keselamatan dalam tempoh kira-kira dua jam, termasuk di Malaysia, Mesir, Iraq, Brazil dan China.
Wakil kumpulan itu turut mendakwa beberapa individu menggunakan nama samaran Never, 19ylegal, CH dan Nivex terlibat dalam proses mengenal pasti sistem berkenaan.
Dalam temu bual dengan The Cairo Report, wakil kumpulan itu mendakwa kelemahan berkenaan berpunca daripada sistem perisian yang tidak dilindungi dengan baik, termasuk kelemahan pada halaman dan antara muka sistem itu sendiri.
Mereka turut menegaskan serangan berkenaan bukan bertujuan mendapatkan wang tebusan atau melaksanakan serangan perisian tebusan (ransomware), sebaliknya mendakwa mahu mendedahkan kelemahan keselamatan infrastruktur paparan digital yang digunakan syarikat pengiklanan.
“Bukanlah operasi yang serumit seperti yang dibayangkan ramai,” kata wakil kumpulan itu kepada portal berkenaan.
Bagaimanapun, The Cairo Report memaklumkan pihaknya tidak memperoleh bukti teknikal mencukupi untuk mengesahkan kaedah sebenar yang digunakan bagi mengeksploitasi kelemahan sistem berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh dilaporkan berkata, sebanyak lapan skrin LED milik Majlis Perbandaran Kluang (MPK) dipercayai digodam dalam kejadian berkenaan.
Beliau berkata, polis menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun pada Jumaat sebelum siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, pengadu menghubungi pembekal sistem untuk mendapatkan pengesahan sebelum bekalan elektrik kepada skrin LED berkenaan diputuskan bagi menghentikan paparan kandungan tidak senonoh itu.
Insiden berkenaan turut menyebabkan MPK mengambil tindakan menutup semua skrin LED di bawah bidang kuasanya sementara siasatan lanjut dijalankan dengan kerjasama pihak vendor bagi mengenal pasti punca kejadian serta memperkukuh keselamatan sistem.










