SEREMBAN: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengingatkan semua pihak supaya tidak memberi tekanan kepada Datuk Seri Aminuddin Harun untuk segera mengosongkan kediaman rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan selepas pertukaran kerajaan.
Menurut beliau, proses peralihan kuasa perlu dilaksanakan secara berhemah dengan mengutamakan nilai kemanusiaan dan menghormati pemimpin terdahulu.
“Tidak sepatutnya berlaku begitu. Pada hemah saya, berilah sedikit masa walaupun mungkin Menteri Besar baharu akan mengangkat sumpah secepat mungkin.
“Tetapi semua sahabat kita, kita mesti ada rasa perikemanusiaan dan ada tataetika yang harus kita gunakan untuk menghormati rakan-rakan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di hadapan Istana Hinggap Negeri Sembilan, malam tadi.
Ahmad Zahid turut mengimbau insiden pada 2023 apabila Datuk Seri Mohamad Hasan didakwa berdepan desakan untuk mengosongkan kediaman rasmi Menteri Besar selepas pertukaran pentadbiran negeri.
Sehubungan itu, beliau berharap perkara sama tidak berulang terhadap Aminuddin, sebaliknya semua pihak memberi ruang yang sewajarnya bagi memastikan proses peralihan kepimpinan berlangsung secara tertib, beradab dan penuh rasa hormat.










