YTL Power Tiada Kaitan Dengan Urusan Dagangan Megaspeed, Speedmatrix

KUALA LUMPUR: Pengurusan YTL Power International Bhd (YTLP) menegaskan syarikat itu tidak mempunyai kaitan dengan urusan dagangan yang dikaitkan dengan Megaspeed dan Speedmatrix, selain tidak disiasat berhubung isu berkenaan.

Menurut laporan penyelidikan Hong Leong Investment Bank (HLIB) bertarikh 19 November, pengurusan YTLP turut menjelaskan bahawa rangka kerja RASA yang dikemas kini terpakai kepada entiti dagangan, bukannya perkhidmatan kolokasi pusat data.

HLIB berkata YTLP kekal berada pada kedudukan baik untuk memanfaatkan permintaan global terhadap kapasiti kolokasi pusat data, disokong tanah dan infrastruktur yang telah diperoleh serta penghantaran dan pemasangan unit pemprosesan grafik (GPU) baharu.

Bagi suku pertama tahun kewangan 2027, YTLP mencatat keuntungan teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) sebanyak RM608.2 juta, susut 5.9 peratus berbanding suku sebelumnya dan 2.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Segmen pusat data menyumbang keuntungan sebelum cukai RM139.5 juta, berasaskan kapasiti 160 megawatt (MW) yang dikomersialkan. YTLP menyasarkan kapasiti itu meningkat kepada 298MW menjelang akhir 2027.

HLIB mengekalkan saranan “Beli” terhadap saham YTLP dengan harga sasaran RM8.08. Ia berkata prospek pusat data yang kukuh, bersama jangkaan peningkatan pendapatan daripada Wessex Water dan Ranhill, menyokong penilaiannya terhadap kumpulan itu.

BBerkaitan

Latest articles