KUALA LUMPUR,– WWF-Malaysia menyatakan solidariti bersama rakyat Malaysia berhubung kebimbangan terhadap kebajikan tiga gajah Malaysia, Dara, Amoi dan Kelat, yang kini ditempatkan di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun.
Dalam satu kenyataan hari ini, organisasi itu menegaskan bahawa reaksi awam mencerminkan keprihatinan mendalam rakyat terhadap kebajikan hidupan liar, dan perkara tersebut wajar diberi perhatian serius serta tidak dipandang ringan.
Menurut WWF-Malaysia, gajah merupakan haiwan sosial dan mempunyai keperluan kompleks, justeru sebarang isu yang menimbulkan persoalan mengenai kesejahteraan mereka perlu diteliti secara menyeluruh berdasarkan sains, empati dan komitmen terhadap kebajikan haiwan.
Organisasi itu turut menyambut baik kenyataan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, yang sedang mempertimbangkan pilihan terbaik termasuk kemungkinan membawa pulang ketiga-tiga gajah berkenaan ke Malaysia.
“Keputusan seperti ini mesti mengutamakan kesihatan haiwan, kebajikan jangka panjang serta kerjasama antarabangsa, dan perlu dipandu oleh kepakaran serta penilaian teliti,” menurut kenyataan itu lagi.
WWF-Malaysia bagaimanapun menjelaskan bahawa pihaknya tidak terlibat dalam pengurusan gajah dalam kurungan atau keputusan berkaitan institusi zoologi, sebaliknya fokus utama mereka adalah terhadap pemuliharaan gajah liar.
Di Malaysia, populasi gajah liar berdepan pelbagai ancaman termasuk kehilangan habitat, pemecahan kawasan hutan, pemburuan haram serta konflik manusia-gajah yang semakin meningkat.
Namun begitu, WWF-Malaysia menegaskan bahawa mereka tidak memandang ringan isu semasa dan kini sedang berinteraksi dengan pihak berkepentingan bagi memastikan sebarang keputusan dibuat berasaskan prinsip kebajikan haiwan dan pemuliharaan yang kukuh.
Organisasi itu turut menegaskan komitmen berterusan dalam melindungi gajah di Malaysia, termasuk memastikan habitat mereka terpelihara, mengurangkan konflik dengan manusia serta membanteras pemburuan haram demi kelangsungan spesies itu untuk generasi akan datang.










