KUALA LUMPUR, — Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Anwar Ibrahim hari ini menegaskan komitmen kerajaan memperkukuh kebajikan pekerja dan memastikan pembangunan ekonomi lebih inklusif, sambil mengumumkan beberapa inisiatif baharu bernilai lebih RM710 juta sempena Sambutan Hari Pekerja 2026 di Unifi Arena.
Berucap dalam majlis bertemakan “Pekerja MADANI Kesuma Negara”, beliau mengingatkan bahawa Hari Pekerja berakar daripada kebangkitan golongan buruh menentang penindasan, sekali gus menuntut keadilan dan pengiktirafan yang sewajarnya.
“Tidak mungkin kita capai pembangunan tanpa pekerja. Tidak mungkin hospital berfungsi, jalan raya terurus atau keselamatan negara terjamin tanpa sumbangan mereka,” katanya.
Dalam amanat yang disampaikan secara langsung dan terbuka, Anwar turut menegur syarikat besar dan konglomerat agar lebih bertanggungjawab dalam memastikan kebajikan pekerja terjamin, khususnya dari segi gaji.
Beliau mengakui kenaikan gaji minimum sebelum ini berdepan tentangan, namun kerajaan tetap melaksanakannya sehingga mencecah RM1,700, selain menetapkan gaji minimum RM3,000 bagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Negara mesti membangun, tetapi mesti juga menjamin keadilan kepada pekerja. Orang kaya dan syarikat besar harus ada ihsan,” tegasnya.
Mengulas tekanan ekonomi global, beliau berkata kerajaan masih mengekalkan harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter walaupun harga minyak dunia meningkat mendadak, sebagai langkah melindungi golongan pekerja berpendapatan rendah.
Katanya, keputusan itu dibuat walaupun terdapat desakan daripada pelbagai pihak agar harga bahan api disemak semula bagi menjaga kedudukan fiskal negara.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mengumumkan beberapa inisiatif utama yang memberi tumpuan kepada perlindungan sosial, kesejahteraan pekerja serta kebolehpasaran tenaga kerja:
Antara Inisiatif yang diumum adalah mengenai Elaun Pasca Cuti Bersalin (EPCB) Dimana Kerajaan bersetuju secara prinsip memperkenalkan elaun tambahan sehingga 30 hari selepas tamat cuti bersalin 98 hari, dengan bayaran 80% gaji secara one-off di bawah Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017.
Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 132,000 pekerja wanita.
Jelas Anwar lagi, Perlindungan pekerja Malaysia di luar negara juga akan diperkenalkan Dimana Kerajaan akan meminda undang-undang berkaitan bagi memperluaskan perlindungan PERKESO kepada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara, bermula dengan pekerja rentas sempadan Malaysia–Singapura melibatkan kira-kira 480,000 pekerja.
Kerajaan turut melancarkan pakej Progressive Acceleration for Capability and Employment (PACE) bernilai lebih RM710 juta bagi memperkukuh daya tahan ekonomi dan pasaran buruh.
Pakej itu merangkumi RM580 juta melalui PERKESO untuk perlindungan sosial dan bantuan kehilangan pekerjaan
RM100 juta melalui HRD Corp bagi latihan dan penempatan pekerjaan, RM20 juta untuk memperkasa pekerja gig melalui latihan Kemahiran RM10 juta melalui TalentCorp bagi menyokong latihan industri dan bakat muda .
Selain itu, kerajaan akan memperkenalkan Akta Pekerja Gig serta menubuhkan Suruhanjaya Gig bagi mengawal selia sektor berkenaan, selain memperluas program upskilling dan reskilling untuk meningkatkan kebolehgajian pekerja.
Dalam masa sama, sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) turut diperkukuh melalui dana pembiayaan yang ditingkatkan bagi memastikan kelangsungan perniagaan dan peluang pekerjaan.
Anwar turut mengarahkan semua agensi berkaitan mengemukakan laporan pelaksanaan dalam tempoh dua minggu untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri, bagi memastikan semua inisiatif dapat dilaksanakan tanpa kelewatan.
Mengakhiri ucapan, beliau menyeru seluruh tenaga kerja negara untuk terus meningkatkan disiplin dan produktiviti, sambil menegaskan bahawa kekuatan Malaysia terletak pada kesatuan rakyat pelbagai kaum.
Ini bukan tempat orang lembap dan malas. Melayu, Cina, India, Iban, Karazan, Semangat yang ditunjukkan, Semuanya satu semangat. Semangat pekerja. Malaysia tercinta.










