KUALA LUMPUR– Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menegaskan bahawa reformasi pendidikan Bumiputera perlu diterjemahkan kepada tindakan strategik yang nyata, bukan sekadar wacana atau retorik semata-mata.
Berucap dalam Kongres Pendidikan Bumiputera 2026, beliau berkata pendidikan kekal sebagai teras utama dalam pembinaan masa depan bangsa dan tidak boleh diserahkan kepada kebetulan tanpa perancangan yang tersusun.
Menurutnya, kehadiran lebih 5,000 peserta daripada pelbagai latar belakang akademik, industri dan masyarakat mencerminkan iltizam kolektif untuk memperkasa agenda pendidikan Bumiputera secara menyeluruh.
“Yang baik perlu dipertingkatkan, yang lemah mesti diperbaiki dengan berani. Paling penting, segala cadangan perlu dilaksanakan secara strategik dan berkesan,” katanya.
Zambry menegaskan bahawa cabaran pendidikan tidak bermula di peringkat universiti, sebaliknya berpunca sejak awal kanak-kanak, melibatkan akses pendidikan berkualiti, persekitaran pembelajaran, budaya membaca serta sokongan keluarga dan sosial.
Beliau berkata pendekatan menyeluruh perlu diambil merangkumi pendidikan awal, sekolah, latihan kemahiran, pendidikan tinggi dan pembelajaran sepanjang hayat bagi melahirkan generasi yang berdaya saing dan berakhlak.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan kongres berkenaan berperanan sebagai platform muhasabah nasional dan “makmal idea” bagi merangka pendekatan baharu yang lebih realistik dan berimpak tinggi terhadap pembangunan pendidikan Bumiputera.
Tiga fokus utama digariskan dalam kongres tersebut, iaitu pembentukan kerangka strategik pendidikan jangka panjang, reformasi dasar yang responsif, serta komitmen politik bagi memastikan pelaksanaan yang efektif.
Perbincangan turut melibatkan kerjasama antara ahli akademik, pembuat dasar dan pemain industri bagi memastikan setiap cadangan bersifat praktikal serta selari dengan keperluan ekonomi dan pasaran kerja semasa.
Antara fokus utama kongres termasuk pemerkasaan TVET, pendidikan awal kanak-kanak, pengarusperdanaan tahfiz serta hala tuju pendidikan negara pada masa depan.
Beliau berkata hasil perbincangan kongres akan dirumuskan dalam bentuk resolusi untuk diserahkan kepada Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri bagi tindakan lanjut di peringkat nasional.
Zambry turut menegaskan bahawa kekuatan sesuatu bangsa bukan hanya diukur melalui kemajuan fizikal, tetapi bergantung kepada kualiti pendidikan, ilmu serta nilai yang dimiliki oleh masyarakatnya.
“Pendidikan bukan sekadar melahirkan individu berilmu, tetapi insan yang memiliki adab, akhlak dan tanggungjawab terhadap masyarakat,” katanya.










