KUALA LUMPUR, — Kumpulan penyokong bola sepak, Ultras Malaya, mengumumkan tindakan memboikot semua perlawanan melibatkan pasukan kebangsaan Malaysia berkuat kuasa serta-merta menerusi satu kenyataan rasmi yang dimuat naik di Facebook.
Dalam kenyataan itu, Ultras Malaya memaklumkan keputusan tersebut dibuat selepas meneliti dan membincangkan pelbagai aspek berkaitan perkembangan bola sepak negara, khususnya susulan tiga tuntutan yang telah dibentangkan kepada umum pada 13 April 2026.
Tiga tuntutan berkenaan ialah penarikan balik kerakyatan tujuh pemain, pemulangan pengurusan pasukan Harimau Malaya kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), serta pelaksanaan reformasi menyeluruh terhadap bola sepak Malaysia.
Sehubungan itu, mereka mengumumkan pelaksanaan “Boikot Fasa 1”, yang melibatkan pemboikotan semua perlawanan pasukan kebangsaan sebagai tanda protes terhadap isu-isu yang dibangkitkan.
Ultras Malaya turut menetapkan tempoh sehingga 31 Ogos 2026 untuk ketiga-tiga tuntutan tersebut dipenuhi oleh pihak berkaitan, dengan matlamat memastikan bola sepak negara bebas daripada kepentingan sempit serta kelemahan dalam tadbir urus.
Menurut kenyataan itu lagi, sekiranya tuntutan berkenaan gagal dipenuhi dalam tempoh ditetapkan, “Boikot Fasa 2” yang lebih menyeluruh akan dilaksanakan dan dijangka melibatkan keseluruhan ekosistem Liga Malaysia.
Kumpulan itu menegaskan tindakan yang diambil bukan didorong oleh kebencian terhadap pasukan kebangsaan, sebaliknya sebagai usaha memperjuangkan masa depan bola sepak Malaysia yang lebih telus, adil dan berintegriti.
“Mereka menolak sebarang bentuk penggunaan bola sepak sebagai alat untuk kepentingan peribadi mana-mana pihak,” menurut kenyataan tersebut.
Ultras Malaya menyeru agar bola sepak negara dikembalikan kepada rakyat demi memastikan pembangunan sukan tersebut lebih tersusun dan bertanggungjawab katanya










