Wong Chen Terkejut Kontrak Pengerusi MDV Ditamatkan

KUALA LUMPUR: Wong Chen mendakwa penamatan tugasnya sebagai pengerusi bukan eksekutif Malaysia Debt Ventures Berhad dibuat secara tiba-tiba tanpa sebarang penjelasan rasmi daripada Kementerian Kewangan Malaysia.

Menurut beliau, perkara itu hanya diketahui ketika pihak pengurusan MDV memaklumkan mengenai surat daripada kementerian beberapa minit sebelum mesyuarat lembaga pengarah berlangsung semalam.

Katanya, surat tersebut mengarahkan supaya tempoh perkhidmatannya ditamatkan bermula 31 Mei ini.

Wong Chen menyifatkan situasi itu sebagai pelik kerana beliau tidak menerima sebarang pemberitahuan secara terus, sama ada melalui surat mahupun panggilan telefon daripada pihak kementerian.

“Saya dimaklumkan oleh pengurusan syarikat, bukannya terus daripada kementerian. Tiada sebab diberikan mengapa perkhidmatan saya dihentikan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Beliau turut menjelaskan bahawa dirinya pada mulanya tidak berminat menerima pelantikan ke jawatan itu pada Mei 2023 kerana berpendapat ahli Parlimen tidak wajar memegang kedudukan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Namun, katanya, beliau menerima tanggungjawab tersebut selepas diminta membantu memperbaiki keadaan MDV yang ketika itu berdepan masalah kewangan dan kelemahan tadbir urus.

Menurutnya, syarikat itu mengalami kerugian besar selain berhadapan isu dalaman termasuk moral kakitangan yang rendah dan kadar pertukaran pekerja yang tinggi.

Sepanjang mengetuai MDV, Wong Chen berkata beliau memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh integriti dan mengurangkan pengaruh pihak berkepentingan dalam urusan syarikat.

Beliau turut menegaskan tidak melayan sebarang permintaan tidak rasmi daripada individu berpengaruh dan hanya menerima urusan melalui saluran rasmi.

Hasil langkah penstrukturan semula itu, katanya, MDV berjaya kembali mencatat keuntungan pada 2024 dan prestasi syarikat terus menunjukkan peningkatan memberangsangkan bagi tahun kewangan berikutnya.

Walaupun kontraknya ditamatkan lebih awal, Wong Chen berkata beliau tetap berbangga dengan pencapaian dicapai bersama warga MDV serta percaya tadbir urus yang baik mampu memulihkan prestasi mana-mana GLC atau GLIC.

BBerkaitan

Latest articles