KUALA LUMPUR: Penulis, Simen Lourds Samy menegaskan bahawa bandar Kluang diasaskan oleh pihak pentadbiran British pada tahun 1915, bukannya oleh tokoh perniagaan tempatan seperti yang didakwa oleh segelintir pihak.
Menurut beliau, tanggapan bahawa tokoh perniagaan terkemuka seperti Gan Kian Wee sebagai individu pertama yang membuka bandar tersebut adalah tidak tepat sama sekali berdasarkan fakta sejarah yang sahih.
“Kalau anda mahu menulis tentang sejarah sebuah bandar, kenyataan mesti betul dan tidak boleh salah.
“Semalam ada seorang rakan bertanya kepada saya, ‘Simon, awak tahu tak Gan Kian Wee? Siapa dia? Dialah yang mula-mula mendirikan bandar Kluang ini.’ Saya katakan kepadanya, anda salah!” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas peluncuran buku terbarunya berjudul “Kluang: Heart of the Flying Fox” di sini, pada Ahad.
Penulisan buku diusahakannya sejak tahun 2021 pada era pandemik COVID-19 bagi memastikan fakta sejarah tempatan direkodkan dengan betul.
“Orang yang mendirikan bandar Kluang ialah pihak British. Mereka datang ke sini pada tahun 1915 dan pada masa itu mereka berunding dengan Sultan Johor dan menyatakan bahawa Kluang harus menjadi bandar pentadbiran utama (capital).
“Dan mereka mewujudkan Kluang sebagai pusat pentadbiran Johor pada tahun 1915,” jelasnya.
Jelas Simen, kedatangan pengusaha seperti Gan Kian Wee dan Lee Kong Chian adalah sebagai perintis perniagaan yang memperkembangkan ekonomi setempat, manakala pihak British bertanggungjawab merancang pembentukan bandar berkenaan selepas rundingan bersama pihak istana Johor.
Mengulas lanjut mengenai nilai sentimental bandar itu, beliau menyifatkan Kluang sebagai simbol perpaduan masyarakat pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina, India, dan Punjabi yang hidup harmoni didorong oleh faktor perhubungan rel kereta api.
Bagi Simen, biarpun beliau kini menetap di Singapura, ikatan emosinya dengan Kluang tetap utuh, termasuk kenangan manis mendaki Gunung Lambak setinggi 1,672 kaki serta didikan penuh kasih sayang daripada ahli keluarga.
“Keluarga saya ada di sana, ibu saya di sana, bapa saudara saya dan isterinya yang memelihara saya… Walaupun saya berhijrah ke Singapura mencari rezeki, hati saya, roh saya tetap di Kluang,” ujarnya
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan telah menghasilkan 15 buah buku di mana hasil jualan karya pertamanya, “The Foolish Hero”, disumbangkan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah (Red Cross Society) Singapura bagi membantu kanak-kanak miskin, selain menzahirkan penghargaan kepada penaung utama, Datuk Seri Dr. Garry Chua Keng Seng, atas sokongan padu yang diberikan.










