KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor melahirkan rasa terharu melihat kesungguhan orang ramai membantu usaha mengumpulkan denda RM50 juta bagi membolehkan suaminya, Datuk Seri Najib Razak, menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.
Rosmah berkata, sokongan itu bukan sahaja datang daripada kenalan di Malaysia, malah turut diterima dari beberapa negara termasuk Brunei, Itali, Singapura dan Kanada.
“Syukur alhamdulillah. Saya benar-benar terharu,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Menurut Rosmah, ada antara mereka yang menghubunginya bagi menyatakan kegembiraan susulan perkembangan terbaharu membabitkan Najib, selain menyatakan hasrat untuk menyumbang kepada Tabung Solidariti berkenaan.
Katanya, niat mereka hanya satu iaitu mahu melihat Najib kembali bersama keluarga.
“Mereka hanya mahu melihat Datuk Seri Najib kembali bersama keluarga. Itu sahaja,” katanya.
Rosmah turut mengakui tidak menyangka masih ramai yang mengambil berat terhadap keluarga mereka dan sanggup tampil membantu secara ikhlas.
“Hari ini, saya sedar siapa sahabat yang sentiasa bersama kami ketika susah dan senang.
“Alhamdulillah, terima kasih sekali lagi atas segala doa, kasih sayang dan keikhlasan kalian,” katanya.
Pada Jumaat lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat terhadap Najib, membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat pembayaran denda RM50 juta.
BHEUU Jabatan Perdana Menteri memaklumkan keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan Sultan Ibrahim pada hari sama.
Najib bagaimanapun perlu mematuhi semua syarat yang ditetapkan.
Sekiranya mana-mana syarat dilanggar, pengampunan bersyarat itu terbatal dan Najib perlu kembali menjalani baki hukumannya di penjara.










