KUALA LUMPUR: Isu tata kelola, rasuah serta liputan mengenai pengampunan bersyarat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka terus menjadi topik utama yang mempengaruhi pola pengundian menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Penganalisis politik, Prof Dr Bridget Welsh berkata isu-isu berkenaan kekal penting dan memberi impak mendalam terutamanya dalam kalangan pengundi di kawasan bandar serta kumpulan berpendapatan tertentu.
”Saya fikir isu tadbir urus dan rasuah masih sangat penting di segenap lapisan masyarakat. Kepentingan isu ini adalah lebih tinggi dalam kalangan komuniti tertentu serta bergantung kepada tahap pendapatan dan pendidikan.
”Isu pengampunan bersyarat ini telah meletakkan semula perkara berkenaan ke dalam agenda politik. Ia menjadikan isu berkaitan Najib sebagai topik penting apabila pilihan raya umum akan datang berlangsung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam forum bertajuk ‘Identity Politics or Performance Politics? What Really Determines How Malaysians Vote?’ anjuran Politiko.my yang berlangsung di Bukit Damansara, petang Ahad.
Forum berkenaan turut menampilkan Naib Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Wan Saiful Wan Jan dan dimoderatorkan oleh Dr Sharmin Kutty Sivaraman.
Mengulas mengenai kelemahan pentadbiran kerajaan Madani di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim, Bridget berpandangan bahawa tumpuan sepatutnya diberikan kepada reformasi institusi dan bukannya politik yang bersifat personaliti.
”Cabaran dan kelemahan kerajaan sedia ada adalah tidak memberi tumpuan yang cukup kepada reformasi institusi yang boleh menyelesaikan konflik secara lebih tersusun.
”Apabila kuasa dan pertuduhan menjadi terlalu bersifat peribadi, ia menyemarakkan kitaran ‘politik balas dendam’ yang tidak sihat untuk negara,” tegasnya.
Tambah beliau, usaha memperkukuh kebebasan badan kehakiman dan memperkasakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu terus diutamakan bagi membina semula kredibiliti institusi negara.
Menurutnya lagi, walaupun politik identiti akan terus wujud dalam lanskap politik Malaysia, gabungan isu ekonomi, kepercayaan, serta tadbir urus akan menjadikan pilihan raya akan datang sangat mencabar.
Mengulas mengenai persoalan sama ada pengundi akan menilai pilihan raya berdasarkan prestasi, akuntabiliti, atau politik identiti, Bridget menegaskan bahawa jawapan sebenar terletak di tangan pengundi itu sendiri.
”Namun apa yang kita lihat dalam pilihan raya baru-baru ini menunjukkan terdapat kebimbangan yang sangat nyata.
“Secara umumnya, salah satu isu utama dalam politik Malaysia ialah kes-kes politik yang melibatkan ahli politik sering dilihat sebagai satu kitaran jahat (vicious cycle), seorang ditangkap, kemudian seorang lagi ditangkap,” katanya.
Beliau menambah, cabaran utama kerajaan sedia ada adalah untuk melaksanakan reformasi institusi secara menyeluruh demi menghentikan amalan politik sedemikian.
”Cabaran dan kelemahan kerajaan sedia ada adalah tidak memberi tumpuan kepada pembinaan dan reformasi institusi yang mampu menyediakan saluran lain untuk penyelesaian konflik.
”Apabila kuasa dan pertuduhan menjadi terlalu bersifat peribadi, ia menyemarakkan kitaran ‘politik balas dendam’ yang tidak sihat untuk negara. Ia membayangi persoalan mengenai akuntabiliti.
”Perkara yang sangat penting ketika ini ialah terus membina kredibiliti serta kebebasan badan kehakiman, memperkasakan SPRM sebagai sebuah institusi, dan memastikan undang-undang yang ada terpakai secara adil kepada semua pihak,” tegas beliau.










