​Penyatuan Melayu Bukan Bermakna Rasis, Kata Wan Saiful

​KUALA LUMPUR: Naib Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Wan Saiful Wan Jan menegaskan bahawa perpaduan dan penyatuan kaum Melayu di negara ini bukanlah satu bentuk tindakan perkauman (rasis), sebaliknya ia merupakan syarat asas bagi menjamin kestabilan nasional.

​Beliau yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, sejarah dan bukti jelas menunjukkan bahawa apabila kuasa politik Melayu berpecah, negara tidak akan dapat mencapai potensi sepenuhnya.

​”Penyatuan Melayu bagi saya bukanlah satu penamat (end to itself), tetapi ia adalah alat untuk mencapai matlamat utama, iaitu kestabilan nasional.

​”Melayu perlu bersatu kerana sejarah telah membuktikan apabila kekuatan politik Melayu berpecah, negara tidak mampu mencapai potensi sebenar,” katanya.

​Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam forum bertajuk ‘Identity Politics or Performance Politics? What Really Determines How Malaysians Vote?’ anjuran Politiko.my yang berlangsung di Bukit Damansara, petang Ahad.

​Forum berkenaan turut menampilkan Penganalisis Politik, Prof Dr Bridget Welsh dan dimoderatorkan oleh Dr Sharmin Kutty Sivaraman.

​Mengulas mengenai kecenderungan pengundi muda khususnya Generasi Z (Gen Z), Wan Saiful mengingatkan agar semua pihak tidak memandang rendah pengetahuan dan kesedaran politik golongan tersebut.

​Namun, beliau meluahkan kebimbangan terhadap pengaruh dan manipulasi media sosial yang boleh menjejaskan proses pemikiran serta keputusan pengundi muda.

​”Saya ada menyertai satu program podcast bersama tujuh anak muda Gen Z baru-baru ini. Mereka mengemukakan soalan-soalan yang sangat mencabar.

“Ini membuktikan mereka tahu apa yang berlaku dan kita tidak boleh memandang rendah tahap pengetahuan mereka.

​”Cuma apa yang membimbangkan saya ialah bagaimana maklumat di media sosial dimanipulasi untuk mempengaruhi fikiran mereka.

“Laporan terbaharu juga menunjukkan manipulasi media sosial ini berlaku dan pihak yang mendapat manfaat daripadanya adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” dakwanya.

​Dalam pada itu, menyentuh mengenai penawaran Parti Wawasan Negara, Wan Saiful menjelaskan parti baharu itu komited menampilkan wajah sebenar Malaysia yang berbilang kaum dan bukannya berasaskan politik etnik semata-mata.

​”Dalam Majlis Tertinggi kami sendiri, kira-kira 45 peratus terdiri daripada pemimipin bukan Melayu.

“Cabaran utama kami adalah untuk menawarkan penyelesaian dasar yang mampan, merangkumi isu ekonomi, pendapatan dan kebajikan rakyat agar pengundi yakin dengan kemampuan kami,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles