Wawasan Raih Lebih 100,000 Ahli Dalam Enam Minggu – Hamzah

JASIN: Parti Wawasan Negara (Wawasan) berjaya memperoleh lebih 100,000 ahli dalam tempoh enam minggu sejak penubuhannya, sekali gus membuktikan parti itu mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan rakyat.

Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pencapaian itu menunjukkan parti itu mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai sebuah parti politik yang memperjuangkan masa depan negara berteraskan nilai sejagat.

“Enam minggu sahaja kita sudah pun mencapai satu angka yang orang mungkin hairan, yang mungkin orang tertanya-tanya bagaimana begitu cepatnya sebuah parti yang baru sahaja enam minggu sudah mencecah melebihi 100,000 ahli semuanya,” katanya

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Himpunan Pemuda Wawasan Negara di sini malam tadi.

Menurut Hamzah, perkembangan keahlian itu membuktikan Wawasan bukan sebuah parti kecil seperti yang didakwa sesetengah pihak, sebaliknya mempunyai potensi besar untuk menjadi wadah perjuangan rakyat Malaysia.

Beliau turut mendakwa Wawasan merupakan parti yang paling cepat berkembang di negara ini berdasarkan pencapaian keahliannya dalam tempoh singkat.

Hamzah berkata, Wawasan berbeza daripada parti politik lain kerana tidak berteraskan identiti kaum semata-mata, sebaliknya mengangkat falsafah amar makruf nahi mungkar atau mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Menurutnya, falsafah berkenaan merupakan nilai sejagat yang boleh diterima semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.

“Kita mahu satu parti yang benar-benar mempunyai falsafah berbeza daripada parti lain.

“Ini merupakan nilai-nilai universal yang boleh diterima oleh semua masyarakat, tidak kira Melayu, Cina, India, Iban dan semuanya mahukan nilai yang baik untuk masyarakat, rakyat serta masa depan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, Wawasan mahu membina sebuah negara yang dihormati di peringkat antarabangsa dengan menggabungkan pemimpin berpengalaman serta berwawasan di semua peringkat.

Beliau berkata, perjuangan parti itu turut berteraskan tiga agenda utama yang perlu difahami dan dihayati semua ahli, khususnya golongan muda.

Menurutnya, agenda pertama ialah matlamat bersama untuk membina negara secara kolektif, manakala agenda kedua menekankan perkongsian kekayaan negara bagi memastikan rakyat menikmati kehidupan lebih baik.

Katanya, matlamat berkenaan perlu diterjemahkan melalui usaha memastikan rakyat mempunyai pendapatan mencukupi, selain mampu memenuhi keperluan asas kehidupan.

“Rakyat mahu melihat ada makanan di atas meja. Mereka mahu food on the table dan untuk mendapatkan makanan itu, mereka perlu ada wang dalam saku masing-masing.

“Inilah kekayaan yang akan kita kongsikan. Inilah caranya untuk kita pastikan rakyat di seluruh negara benar-benar mempunyai makanan di atas meja dan wang dalam saku supaya mereka boleh mempunyai harapan pada masa hadapan.

“Kita mahu supaya kita berwawasan. Kita pastikan sesiapa sahaja dalam Malaysia ini yang menzalimi rakyatnya akan kita tentang habis-habisan.

“Kita akan pastikan untuk merampas kuasa bagi memastikan rakyat hidup aman damai dalam negara kita,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru golongan muda supaya memperkukuh gerak kerja parti serta membantu memastikan calon Wawasan mencapai kemenangan dalam pilihan raya akan datang.

BBerkaitan

Latest articles