MELAKA: Semua sekolah di negara ini diminta meningkatkan kewaspadaan dan mengutamakan keselamatan warga sekolah susulan penemuan bungkusan mencurigakan di beberapa sekolah di Negeri Sembilan.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, menegaskan setiap penemuan seumpama itu perlu dipandang serius dan ditangani dengan langkah keselamatan sewajarnya bagi mengelakkan sebarang risiko terhadap murid serta warga sekolah.
Beliau turut memuji tindakan pantas polis dalam memastikan keselamatan di kawasan sekolah terpelihara, selain merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah dan pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atas kerjasama menangani insiden berkenaan.
“Saya rasa kita perlu mengambil pendekatan berwaspada terhadap semua penemuan, terutama dari aspek keselamatan. Perkara ini mesti dititikberatkan,” katanya selepas merasmikan pertemuan Kelab Perempuan Membaca ‘Fadhlina Membaca’.
Fadhlina berkata, semua pengetua, guru besar dan warga sekolah perlu sentiasa bersedia menghadapi sebarang situasi yang boleh menimbulkan kebimbangan, selain memastikan aspek keselamatan tidak dipandang ringan.
Beliau berkata, bungkusan yang ditemukan itu telah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut.
Semalam, polis menerima sembilan laporan berhubung penemuan bungkusan mencurigakan di beberapa sekolah di Nilai dan Tampin, Negeri Sembilan.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, dilaporkan berkata pemeriksaan mendapati semua kotak berkenaan mengandungi tepung gandum dan pinggan plastik.
Polis turut mendapatkan bantuan Unit Pemusnah Bom (UPB) bagi memeriksa bungkusan berkenaan serta mengambil langkah keselamatan yang diperlukan.
Hasil pemeriksaan tidak menemukan sebarang bahan letupan atau bahan berbahaya.
Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab menghantar atau meninggalkan bungkusan berkenaan, selain menyiasat motif di sebalik kejadian itu.










