PKR Desak Ismail Jelaskan Penangguhan DUN, Insiden Tuanku Muhriz Murka Jadi Persoalan

SEREMBAN: PKR Negeri Sembilan mendesak Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim tampil memberikan penjelasan berhubung penangguhan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) tanpa notis awal serta insiden tular membabitkan beliau dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, selepas solat Jumaat, semalam.

Pengarah Komunikasi PKR Negeri Sembilan, Mohd Shariman Che Deris, berkata persidangan DUN yang dijadualkan berlangsung pada 16 Oktober lalu sepatutnya dimaklumkan secara sewajarnya kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk daripada pihak pembangkang.

Menurutnya, alasan kekangan masa yang diberikan bagi menangguhkan persidangan itu menimbulkan persoalan mengenai pengurusan masa dan sumber oleh kepimpinan kerajaan negeri, sedangkan tempoh dua bulan disifatkannya mencukupi untuk membuat persediaan.

“Alasan kekangan masa yang diberi menggambarkan ketidakupayaan Menteri Besar Negeri Sembilan dan ADUN kerajaan mengurus masa dan sumber, walhal tempoh dua bulan adalah sangat panjang jika mereka benar-benar bekerja,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan, DUN bukan hak eksklusif mana-mana individu atau parti politik, sebaliknya institusi demokrasi yang berperanan membawa mandat rakyat dan memastikan kepentingan mereka terus diwakili.

Dalam perkembangan sama, Shariman mempersoalkan komunikasi antara Menteri Besar dengan Tuanku Muhriz susulan insiden di Masjid Kampung Beting, Kuala Pilah, yang mencetuskan perhatian selepas beberapa rakaman video mengenainya tersebar luas di media sosial.

Menurutnya, kejadian itu tidak seharusnya dilihat secara terpisah tanpa mengambil kira perkara yang berlaku sebelum tercetusnya situasi berkenaan.

“Perlu diingat kepada semua bahawa setiap kejadian mesti ada proses dan tindakan sebelumnya menyebabkan baginda Tuanku Muhriz murka dengan tegas dan keras,” katanya.

Menerusi video yang tular, Tuanku Muhriz dilihat memaklumkan kepada sekumpulan individu bahawa Ismail telah mengutus surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dengan menyatakan baginda bukan lagi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Baginda turut mempersoalkan tujuan Menteri Besar berhasrat menghadapnya sekiranya perkara yang didakwa itu belum ditarik balik.

“Jadi (hari ini) dia nak datang jumpa saya buat apa? Selagi dia tidak tarik balik apa yang dikatakannya sebelum ini, jangan datang jumpa saya. ‘Go away’,” titah baginda dalam rakaman berkenaan.

Kenyataan itu didakwanya memperlihatkan ketegangan yang tercetus dalam insiden berkenaan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai perkara sebenar yang membawa kepada reaksi tegas Tuanku Muhriz.

Sehubungan itu, Shariman menegaskan Ismail perlu menjawab secara terbuka persoalan yang dibangkitkan, termasuk dakwaan berkaitan surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, dan bukannya membiarkan isu berkenaan terus menjadi tanda tanya.

Beliau berkata, penjelasan daripada Menteri Besar amat diperlukan bagi memastikan rakyat mendapat gambaran jelas mengenai perkara yang berlaku, selain mengelakkan kekeliruan berhubung urusan pentadbiran dan institusi negeri.

BBerkaitan

Latest articles