“Saya Akui Itu Satu Kesalahan” – Nik Nazmi Mohon Maaf Selepas Ditahan JAIS

KUALA LUMPUR: Pemimpin Bersama, Nik Nazmi Nik Ahmad mengesahkan beliau antara dua individu yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi membantu siasatan kes disyaki berkhalwat di sebuah lokasi tertutup di Petaling Jaya, 15 Oktober lalu.

Bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam itu bagaimanapun menjelaskan, kehadirannya bersama seorang wanita di lokasi berkenaan adalah bagi membincangkan projek bersama rakan-rakannya.

Dalam kenyataan, beliau berkata perbincangan pada awalnya berlangsung di sebuah studio miliknya bersama rakan-rakan di Brickfields, Kuala Lumpur sebelum dipindahkan ke Petaling Jaya bagi meneliti beberapa bahan berkaitan projek terbabit.

Nik Nazmi mengakui hanya beliau dan wanita berkenaan berada di lokasi ketika pegawai JAIS tiba, namun menegaskan tiada perbuatan sumbang dilakukan seperti yang mungkin menimbulkan syak wasangka.

Bagaimanapun, beliau mengakui perbuatannya itu satu kesalahan dan menyatakan kesediaan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa sepanjang proses perundangan.

“Saya mengakui itu adalah suatu kesalahan. Saya akan memberikan kerjasama untuk sebarang proses perundangan,” katanya.

Beliau turut memohon maaf kepada isteri, keluarga serta semua pihak yang terkesan akibat kesilapan pertimbangannya ketika kejadian.

Malah, bekas Ahli Parlimen Setiawangsa itu turut menyampaikan permohonan maaf kepada Bersama kerana mengecewakan ahli dan penyokong parti berkenaan.

Nik Nazmi berkata beliau bersedia menerima apa juga keputusan yang bakal dibuat parti berhubung perkara itu.

Pada masa sama, beliau meminta semua pihak menghormati proses perundangan dan tidak melanjutkan isu berkenaan melalui perbicaraan di media.

Sebelum ini, JAIS mengesahkan dua individu ditahan kira-kira jam 6 petang bagi membantu siasatan kes disyaki khalwat membabitkan seorang figura awam di daerah Petaling.

Pengarah JAIS, Datuk Shahzihan Ahmad, berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

BBerkaitan

Latest articles