KUALA LUMPUR: Parti Wawasan Negara mengesahkan hasrat untuk menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 dan kini sedang mengadakan rundingan dengan kepimpinan Perikatan Nasional (PN) bagi memuktamadkan agihan kerusi yang akan ditandingi.
Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata perbincangan bersama parti-parti komponen PN telah dimulakan, namun jumlah kerusi yang bakal diperuntukkan kepada Parti Wawasan Negara hanya akan diputuskan selepas mesyuarat rasmi gabungan itu.
“Perbincangan awal sudah bermula, tetapi saya tidak boleh mengesahkan jumlah kerusi sehingga mendapat persetujuan dalam mesyuarat rasmi PN. Saya tidak suka membuat pengumuman sebelum ada keputusan jawatankuasa,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Parti Wawasan Negara, hari ini.
Hamzah berkata, berbeza dengan PRN Johor sebelum ini yang menyaksikan parti itu tidak bertanding bagi mengelakkan perpecahan dalam gabungan, Parti Wawasan Negara berhasrat untuk turun beraksi pada PRN Negeri Sembilan.
Menurutnya, beberapa perkara termasuk penggunaan lambang, pelantikan pengarah pilihan raya dan strategi menghadapi pilihan raya sedang diperincikan dalam perbincangan bersama PN.
Dalam perkembangan sama, Hamzah memaklumkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) telah meluluskan permohonan parti itu untuk menukar nama, alamat, pindaan perlembagaan serta penggunaan bendera dan lambang baharu.
Beliau turut memperkenalkan gagasan Konsensus Nasional Baharu yang akan menjadi teras perjuangan Parti Wawasan Negara, berasaskan tiga tonggak utama iaitu Matlamat Bersama, Kemakmuran Bersama dan Tadbir Urus Berperikemanusiaan.










