Sembilan Peguam Bela Shuhaily Secara Percuma

SEPANG: Sembilan peguam, termasuk beberapa tokoh terkenal dalam bidang perundangan negara, tampil membela Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, yang berdepan dua pertuduhan mencederakan anggota polis.

Pasukan pembelaan yang diketuai Kitson Foong itu menawarkan khidmat guaman secara percuma atau pro bono, tanpa mengenakan sebarang bayaran kepada Mohd Shuhaily.

Peguam, Datuk Rosal Azimin Ahmad, berkata kesemua peguam terbabit merupakan rakan kepada Mohd Shuhaily yang bersetuju memberikan khidmat mereka bagi mengendalikan kes berkenaan.

“Semua peguam yang mewakili beliau (Mohd Shuhaily) adalah rakan-rakannya. Kami menawarkan khidmat guaman secara pro bono, tiada bayaran,” katanya kepada pemberita selepas prosiding di Kompleks Mahkamah Sepang, hari ini.

Selain Kitson dan Rosal, pasukan pembelaan itu turut dianggotai Datuk Akberdin Abdul Kader, Datuk Yaacob Md Sam, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu, Muhammad Rafique Rashid Ali, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Md Yunos Shariff dan Dr Badruzzaman Ishak.

Rosal berkata, pihak pembelaan kini menunggu dokumen berkaitan kes yang perlu diserahkan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah sebelum menentukan tindakan perundangan selanjutnya.

Menurutnya, antara pilihan yang boleh dipertimbangkan ialah mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), bergantung kepada penelitian terhadap dokumen berkenaan.

Beliau turut menjelaskan bahawa Mohd Shuhaily hadir dalam prosiding itu sebagai Orang Kena Saman (OKS), selain menyifatkan kesalahan yang didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan sebagai kesalahan yang boleh dikompaun.

Mahkamah menetapkan 25 November ini untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, Mohd Shuhaily, 54, didakwa atas dua pertuduhan berhubung dakwaan mencederakan dua anggota Cawangan Khas di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada 28 September lalu.

Mahkamah membenarkan beliau diikat jamin sebanyak RM1,500 bagi setiap pertuduhan, menjadikan jumlah keseluruhan RM3,000 dengan seorang penjamin.

BBerkaitan

Latest articles