KUALA LUMPUR: Sepuluh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan memohon Mahkamah Persekutuan memutuskan enam persoalan perlembagaan berhubung kuasa membatalkan pelantikan mereka sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
Notis usul itu difailkan pada 14 Oktober lalu menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak, dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan kerajaan negeri dinamakan sebagai responden.
Antara persoalan utama yang dibangkitkan ialah sama ada Yang di-Pertuan Besar boleh membatalkan pelantikan Exco secara bersendirian dengan menarik balik perkenan tanpa nasihat Menteri Besar.
Mereka turut memohon mahkamah menentukan kesahan pembatalan pelantikan yang diwartakan pada 24 September lalu, tetapi berkuat kuasa mulai 20 September, berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
Bagi mempercepatkan proses itu, pemohon memfailkan sijil perakuan segera menjelang pengurusan kes yang ditetapkan hari ini.
Permohonan berkenaan berkait dengan saman pemula yang difailkan di Mahkamah Tinggi Seremban pada 5 Oktober lalu bagi mencabar pembatalan pelantikan mereka sebagai Exco.
Mereka memohon pengisytiharan bahawa pembatalan berkenaan, yang disiarkan dalam Warta Kerajaan Negeri Sembilan N.S. P.U. 18, adalah batal, tidak sah dan tidak berkuat kuasa terhadap mereka.
Warta itu menyatakan pelantikan kesemua 10 Exco dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, susulan dakwaan pelanggaran ikrar taat setia terhadap baginda.
Perkara 38(5) UUTKNS 1959 menyatakan bahawa seseorang ahli Exco selain Menteri Besar memegang jawatan selama diperkenan oleh Yang di-Pertuan Besar.










